Perak Tourism Awards kembali September ini selepas tujuh tahun menyepi

IPOH – Selepas tujuh tahun menyepi, Perak Tourism Awards 2024 bakal kembali dianjurkan pada 13 September depan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee berkata, majlis yang akan diadakan di hotel Casuarina@Meru itu adalah salah satu inisiatif Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak) bersempena dengan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Menurutnya, majlis yang kali terakhir diadakan pada 2017 itu adalah untuk memberi penghargaan dan anugerah khususnya kepada individu mahupun agensi yang banyak mempromosikan industri pelancongan di negeri ini.

“Penghargaan ini diadakan bagi mengiktiraf jasa, sokongan, sumbangan serta pengorbanan, penggiat industri pelancongan yang cemerlang, komited dalam industri ini secara langsung mahupun tidak langsung dalam mempromosikan industri pelancongan di perak.

“Sebanyak 40 anugerah pelancongan akan dipertandingkan yang terdiri daripada 10 kategori iaitu penginapan, perkhidmatan, produk pelancongan, makanan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Perak Tourism Awards 2024 sempena TMP 2024 di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Sze Yee memaklumkan pencalonan anugerah pada kali ini telah dibuat pembaharuan kerana diadakan secara dalam talian dan terbuka kepada penggiat industri atau yang dicalonkan oleh pihak lain.

“Selain itu, lima panel juri yang dilantik pada kali ini bukan sahaja terdiri daripada penggiat industri, malahan mereka ini turut terlibat secara langsung dengan industri pelancongan yang berlatar belakangkan para akademik dan sektor korporat.

“Pencalonan anugerah ini akan dibuka selama dua bulan bermula pada 1 Mei sehingga tarikh tutup pada 30 Jun depan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelan Perak Sejahtera 2030 tidak ketepi sektor pelancongan di Pangkor

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI