Perak, UAE meterai MoU perkukuh kedudukan ekonomi

KUALA LUMPUR – Perak menerusi melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab ekonomi masa hadapan dengan termeterainya dua memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.

Perjanjian yang dimeterai sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN 2025 itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, perjanjian tersebut memberi tumpuan kepada tiga sektor utama berimpak tinggi di Perak iaitu pembangunan Terminal Serba Guna Hab Maritim Antarabangsa Bagan Datuk (BDI-SMT), penubuhan Hab Industri Halal dan kecerdasan buatan (AI) serta sekuriti makanan mampan.

Menurutnya, kerjasama ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap peranan strategik Perak sebagai hab pelaburan serantau serta komitmen negeri terhadap pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Inisiatif ini mencerminkan kesediaan Perak untuk menerajui sektor yang akan menentukan masa depan perdagangan global dan ketahanan ekonomi serta mengalu-alukan pelabur yang berkongsi visi Perak Sejahtera 2030.

“Kerjasama tersebut juga menunjukkan perubahan ketara ke arah inisiatif yang diterajui secara komersial dengan keutamaan terhadap kecekapan, inovasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Pencapaian tersebut turut menyumbang secara langsung kepada Flagship 9 iaitu Program Mesra Pelabur dan Flagship 13 iaitu Hab Pelabuhan dan Maritim yang menjadi tunjang pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi berkata, kolaborasi bersama Malaysia khususnya Perak adalah bukti hubungan dua hala yang kukuh serta saling mempercayai antara kedua-dua negara.

“Melalui kolaborasi ini, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian bekalan serantau yang kukuh, malah mendemonstrasikan komitmen kami menyumbang kepada sistem makanan global yang stabil,” ujarnya.

Sementara itu, MoU dengan CHEC Construction, anak syarikat kepada firma infrastruktur antarabangsa China Harbour Engineering Company Ltd pula memperincikan pembangunan BDI-SMT yang dijangka menjadi nod perdagangan utama Asia.

Projek ini juga menyokong pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai pemacu pertumbuhan baharu berasaskan maritim, logistik dan industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq memaklumkan, kerjasama ini mencerminkan kekuatan pakatan komersial yang dipacu oleh keyakinan pasaran, kepentingan bersama dan visi jangka panjang untuk landskap ekonomi Perak.

“Menerusi pakatan strategik ini, kita membuka potensi jangka panjang dalam logistik, infrastruktur pelabuhan, inovasi halal, industri AI dan sekuriti makanan.

“Ia sekali gus dapat memperkasa ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan, rangsangan industri, pemindahan pengetahuan dan penaiktarafan prasarana,” jelasnya.

Tambahnya, minat yang kukuh dari China dan kerjasama strategik bersama UAE, dorongan pelaburan bersepadu ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), seterusnya meletakkan Perak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi utama rantau ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kedudukan ekonomi negara kukuh hadapi impak tarif import AS – PM Anwar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI