IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM73.06 juta bagi tujuan keterjaminan makanan untuk tahun hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut, RM30.9 juta disediakan di bawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak iaitu peningkatan RM3 juta berbanding tahun 2025, manakala RM8 juta lagi diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan.
“Sebagai antara penyumbang utama kepada keselamatan makanan dan ekonomi negeri, kerajaan negeri turut menyalurkan RM23.6 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di bawah Maksud Mengurus, iaitu peningkatan RM3.2 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi Belanja Pembangunan, RM2.5 juta diagihkan dengan RM1.3 juta bagi pembangunan industri ternakan serta RM200,000 untuk tujuan latihan dan promosi.
“Di samping itu, RM700,000 untuk bangunan dan infrastruktur termasuk RM500,000 bagi pembinaan Pusat Tahanan Haiwan Sementara dan penyimpanan barang kes bagi aktiviti penguatkuasaan serta RM300,000 bagi Pembangunan Ladang Infoternak,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan kepada Jabatan Perikanan membabitkan RM290,000 di bawah Belanja Mengurus bagi Pusat Konservasi Penyu, serta RM1.8 juta di bawah Belanja Pembangunan.
“Selain itu, RM420,000 disediakan melalui projek Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) Jabatan Perikanan untuk penyediaan inventori ikan dan penguatkuasaan,” ujarnya.
Katanya, sebanyak RM3.1 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan pertanian, termasuk RM2 juta untuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA); RM800,000 bagi penyelenggaraan Pavillion Perak sempena MAHA dan RM300,000 untuk Projek Kelestarian Sumber Kerang Negeri Perak.
“RM400,000 turut disalurkan bagi program Jelajah Sejahtera Agro bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengurusan pertanian, RM450,000 bagi Program Pertanian Bandar, serta RM600,000 untuk Program Jelajah Sejahtera Desaku,” jelasnya.
Tambahnya, keterjaminan makanan kekal sebagai teras utama kesejahteraan negeri dan rakyat.
“Ia susulan cabaran rantaian bekalan, kenaikan harga input pertanian, perubahan iklim serta kebergantungan kepada import yang menuntut perancangan jangka panjang bagi memastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


