PARIT BUNTAR – Kerajaan Negeri Perak akan terus membantu meningkatkan pengeluaran beras bulanan bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negeri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, langkah ini selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Katanya, titah baginda Sultan adalah supaya Perak bukan sekadar menjadi pengeluar makanan untuk rakyatnya, malah mampu mengeksport ke negeri-negeri lain.
“Salah satu syarikat pengeluaran beras tempatan, Yop Zainan Sdn Bhd (Yop Zainan) dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran beras daripada 300 tan kepada 500 tan sebulan.
“Yop Zainan memerlukan RM1 juta bagi membeli mesin baharu bagi menghasilkan beras berkualiti tinggi yang bersesuaian dengan penjenamaan semula produk daripada Beras Cap Gajus Baiduri kepada Beras Perak Sejahtera.
“InshaAllah, saya akan membawa perkara ini ke perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk dipertimbangkan geran khas tersebut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Beras Tempatan Negeri Perak di Gudang Beras Yop Zainan Sdn Bhd, di Kuala Kurau di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, langkah menaik taraf kapasiti ini dijangka memberi impak positif bukan sahaja kepada rakyat negeri Perak, tetapi juga kepada pasaran luar seperti kawasan Seberang Perak, sempadan Kedah dan Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri melihat potensi besar Yop Zainan dalam menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan asas negara, terutama dalam situasi pasaran beras yang tidak menentu,” ujarnya.
Katanya, Yop Zainan telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pahang dan Negeri Sembilan untuk membekalkan beras kepada golongan asnaf di negeri-negeri berkenaan.
“Inisiatif ini satu perkembangan amat baik dan memberi ruang lebih luas kepada jenama tempatan untuk berkembang ke peringkat nasional,” jelasnya.
Setakat ini, Zolkafly memaklumkan, Perak telah memperkenalkan produk sulung di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 iaitu Bawang Perak.
“Sekiranya permohonan geran RM1 juta itu berjaya dan penjenamaan diluluskan, Beras Perak Sejahtera bakal menjadi produk kedua rasmi di bawah jenama tersebut.
“Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pertanian negeri, malah dapat menjamin keterjaminan makanan untuk rakyat dan membuka peluang ekonomi baharu di kawasan luar bandar,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beras Cap Gajus Baiduri bakal dijenamakan sebagai Beras Perak Sejahtera