Perak zahir penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam nahas pelajar UPSI

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta bertungkus lumus dalam menguruskan insiden bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penghargaan itu dizahirkan kepada pasukan perubatan dan keselamatan, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu yang terlibat.

Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bermesyuarat hari ini turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh pasukan perubatan Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping.

“Kesemua pasukan perubatan ketiga-tiga hospital terbabit yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha menyelamatkan nyawa serta memberi rawatan terbaik kepada mangsa.

“Kepada barisan hadapan pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA serta semua anggota penyelamat, terima kasih kerana sedaya upaya bertindak pantas demi keselamatan dan kesejahteraan mangsa.

“Tidak dilupakan, Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan dan memberi sokongan logistik termasuk memudahkan urusan waris dan keluarga mangsa.

“Penghargaan juga kepada pihak pengurusan UPSI atas keprihatinan dan tindakan segera dalam mengurus hal ehwal kebajikan pelajar serta waris yang terlibat.

“Pendekatan empati dan tanggungjawab yang ditunjukkan mencerminkan keutuhan nilai kemanusiaan dalam institusi pendidikan kita,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan ditunjukkan oleh NGO dan individu-individu yang tampil memberikan bantuan, sokongan serta menggerakkan aktiviti derma darah bagi membantu rawatan mangsa yang terlibat.

“Peranan dan sumbangan semua pihak sama ada dalam menyantuni waris mangsa, menyelaras pengurusan jenazah, membantu urusan logistik dan memberikan sokongan moral, telah memungkinkan proses membawa pulang kesemua jenazah mangsa ke kampung halaman masing-masing disempurnakan dengan lancar, penuh tertib dan penghormatan.

“Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas pelajar UPSI: Polis rekod keterangan 18 individu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI