KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah.
Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah.
Sehubungan itu, KPM ketika ini sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid termasuk dengan membenarkan Pengetua dan Guru Besar menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan.
KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu merupakan antara langkah tambahan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat untuk meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan di bawah KPM.
Langkah lain, katanya, seramai seramai 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkanpemantauan keselamatan murid asrama, sekali gus mengurangkan beban tugas Warden Asrama.
Selain itu, tambahnya, dana tambahan sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
“Ini adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara bulan depan yang dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.
Selain itu, katanya, Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah juga akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah dengan PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.
Dalam masa sama, fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.
“Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) juga akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik yang mana sistem tersebut perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya.
Sehubungan itu, ujarnya, institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.
“Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit.
“Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.
Selain itu, KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.
“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.
“Semua pihak diseru untuk berkerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette