Peratusan mengundi kurang faktor BN gagal capai 18,000 undi

TAPAH – Peratusan keluar mengundi kurang daripada 75 peratus menjadi faktor Barisan Nasional (BN) gagal mencapai sasaran 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun gagal mencapai sasaran calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya memenangi kerusi N48 itu.

“18,000 sasaran itu kerana kita menyasarkan 75 peratus daripada 32,000 pengundi, jadi ada 24,000 kalau PN kekal 6,000 undi maka 18,000 itu hak kita lah.

“Tapi oleh kerana peratus keluar mengundi kurang tidak sampai 60 peratus jadi kuranglah kita dapat. Tapi Alhamdulillah kita menang juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Pengumuman Rasmi Keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, dekat sini, malam ini.

Ditanya mengenai jumlah majoriti hampir tiga kali ganda pada PRK Ayer Kuning berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Saarani berkata ia gambaran jelas sokongan diterima Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media di Dewan Merdeka, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 APRIL 2025.

“Ia baguslah kerana telah menggambarkan bagaimana pengundi Ayer Kuning ini cintakan kepada perdamaian tidak suka kepada provokasi dan mencari gaduh serta menolak sesiapa yang membuat fitnah.

“Kita lihat tadi undi diterima PN juga merosot dari 6,812 kepada hanya 6,059. Merosot banyak juga.

“Saya cukup suka kerana lihat saluran-saluran orang muda juga menunjukkan peningkatan undi sokongan orang muda. Terima kasih kepada orang muda,” katanya.

Terdahulu Mohamad Yusri berjaya memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU15 lalu melalui majoriti 5,006 undi.

Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM) masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Rasmi: Ustaz Yusri berjaya kekalkan BN di Ayer Kuning

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI