Perdagangan Malaysia berkembang 10.3 peratus Mei lalu

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia menunjukkan peningkatan 10.3 peratus daripada RM223.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM246.3 billion pada Mei tahun ini.

Peningkatan dipacu oleh kenaikan import 13.8 peratus, mencecah RM118.1 bilion dan eksport 7.3 peratus berjumlah RM128.2 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, prestasi eksport Malaysia meningkat seiring dengan peningkatan eksport domestik bernilai RM106 bilion menyumbang 82.7 peratus kepada jumlah eksport iaitu meningkat 13.2 peratus.

Sebaliknya, eksport semula bernilai RM22.2 bilion menyumbang 17.3 peratus kepada jumlah eksport iaitu turun 14.1 peratus berbanding Mei 2023.

Sementara itu, import bernilai RM118.1 bilion meningkat 13.8 peratus, lebihan dagangan menurun 35.4 peratus kepada RM10.1 bilion lebihan bulan ke-49 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Berbanding April 2024, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan kenaikan 11.8 peratus, 10.4 peratus, 11.1 peratus dan 30.9 peratus.

“Melihat dari sudut kumpulan barangan, 162 daripada 259 kumpulan eksport dan 169 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir turut menekankan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Singapura (+RM2.7 bilion), diikuti Amerika Syarikat (+RM2.4 bilion), Taiwan (+RM1.9 bilion), India (+RM1.1 bilion), Filipina (+RM789.6 juta), Vietnam (+RM719.6 juta), Kesatuan Eropah (+RM660.3 juta), Türkiye (+RM644.6 juta) dan Kanada (+RM450.2 juta).

Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China (+RM4.6 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM3.9 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.1 bilion), Singapura (+RM882.9 juta), Brazil (+RM556.3 juta), Rusia (+RM448.2 juta) dan Republik Korea (+RM349.8 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, Mohd. Uzai berkata, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan barangan elektrik & elektronik (+RM3.5 bilion); perkilangan lain (+RM1.5 bilion); minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM1.4 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.3 bilion); barangan optik & saintifik (+RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (+RM659.4 juta); dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM585.2 juta).

Sementara itu, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM7.5 bilion); barangan perkilangan logam (+RM747.1 juta); pertanian lain (+RM601.8 juta); makanan diproses (+RM571.0 juta); dan tekstil, pakaian & kasut (+RM324.6 juta).

Beliau turut memaklumkan pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan.

Import barangan modal bernilai RM13.9 bilion, meningkat 40.5 peratus berbanding Mei 2023, mewakili 11.8 peratus daripada jumlah import. Barang perantaraan (57.7% daripada jumlah import), bernilai RM68.1 bilion, mencatatkan peningkatan 24.1 peratus atau RM13.2 bilion.

Barang penggunaan (8.6% daripada jumlah import), meningkat 14.7 peratus daripada RM8.9 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM10.2 bilion.”

Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 mencatatkan peningkatan sehingga mencecah RM1 trilion.

Jumlah dagangan meningkat 8.7 peratus daripada RM1.1 trilion kepada RM1.2 trilion, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+4.5%) serta import (+13.7%). Sebaliknya, lebihan dagangan berkurangan 43.9 peratus mencatatkan nilai RM52.0 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI