KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM3.061 trilion pada tahun lepas, meningkat 6.3 peratus berbanding 2024.
Prestasi ini hasil strategi peluasan 240 pasaran global dan pendekatan perdagangan terbuka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, strategi tersebut turut menyumbang kepada jualan eksport bernilai RM45.4 bilion melalui hubungan perdagangan dengan negara-negara utama termasuk United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, China, Korea, Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan.
Menurutnya, eksport Malaysia dipacu oleh beberapa sektor utama seperti gas asli cecair (LNG), minyak kelapa sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor, selain industri aeroangkasa, perabot dan bahan pembuatan lain yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan global termasuk kesan langkah-langkah yang diambil Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik, Malaysia berjaya mengurus risiko tersebut dan terus mencatat prestasi perdagangan yang memberangsangkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling) yang meminta menyatakan prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara sepanjang tempoh tersebut yang menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia.
Anwar turut memaklumkan, nilai eksport negara mencecah RM1.63 trilion, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, melibatkan rakan dagang utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam pada itu, lebihan dagangan negara turut mencatat peningkatan 9.2 peratus kepada RM151.80 bilion, mencerminkan daya saing eksport Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, prestasi positif itu turut disokong oleh pembukaan pasaran baharu yang mencatat pertumbuhan ketara antaranya Kyrgyzstan (225.8 peratus), Yemen, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi.
“Pasaran baharu ini membuka peluang lebih luas kepada Malaysia untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan mengembangkan eksport negara secara lebih mampan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Chean Chung mengenai pendekatan kerajaan supaya pemain utiliti menjadi pemudahcara dan bukan penghalang bagi pelaburan-pelaburan asing bagi melonjakkan lagi eksport, perdana menteri berkata, kerajaan akan menumpukan strategi untuk meningkatkan tahap kecekapan serta mengurangkan kos perniagaan dan perkhidmatan, termasuk meneliti semula kos yang dianggap munasabah.
Tambahnya, walaupun peningkatan dalam sektor perdagangan dilihat sangat memberangsangkan dan tidak memberi kesan besar kepada penambahan kos secara keseluruhan, kerajaan perlu bersikap terbuka terhadap isu kos perkhidmatan tertentu yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata, beliau akan mengarahkan agar kos-kos berkenaan dikaji semula bagi memastikan ia tidak membebankan pihak berkepentingan.
Beliau turut menegaskan, beberapa kos perkhidmatan khusus, termasuk yang melibatkan Indah Water Konsortium akan diberikan perhatian khas oleh kementerian berkaitan.
“Langkah ini penting bagi memastikan keseimbangan antara kecekapan perkhidmatan, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette


