TAIPING – Polis mengesahkan satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan dua pelanggan dan dua pekerja sebuah restoran di Taiping pada Sabtu lalu telah diselesaikan secara baik oleh semua pihak terlibat.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah mengesan video berkenaan semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 8 malam pada Sabtu lalu.
“Kesemua individu yang terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan dan mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan perselisihan faham tersebut pada hari sama kejadian berlaku.
“Turut tular satu lagi video di media sosial yang memaparkan kedua-dua pihak bersalaman sebagai tanda perdamaian.
“Kedua-dua pihak juga telah membuat laporan polis dan mengesahkan bahawa insiden tersebut telah diselesaikan secara baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, Mohamad Nasir menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk Taiping, supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.
Beliau turut menggalakkan masyarakat untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.
“Kita akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan daerah ini sentiasa selamat untuk didiami dan dikunjungi,” jelasnya.
Terdahulu, tular di Facebook video berdurasi 46 saat memaparkan pelanggan dan pekerja bergaduh di sebuah restoran sebelum dileraikan oleh orang ramai yang berada di premis berkenaan.
Selepas itu, tular sebuah lagi video berdurasi 27 saat di TikTok menunjukkan kedua-dua pihak bersalaman meminta maaf dan menyelesaikan perkara tersebut secara baik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


