IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap dua ekor gajah liar yang menimbulkan kacau ganggu di beberapa kampung Orang Asli Pos Perwor, dekat Kuala Mu, Sungai Siput pada bulan lalu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, kedua-dua ekor gajah jantan dan betina itu ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah pada jam 11 pagi Rabu lalu selepas menerima aduan daripada penduduk.
Menurutnya, gajah liar yang ditangkap itu diberi nama Yong Shida, berusia 35 tahun dengan berat 2.3 tan dan gajah jantan, Yob Talang berusia 20 tahun dengan berat 2.5 tan.
“Untuk makluman, gajah ini telah menimbulkan konflik pada 21 Januari lalu. Kemudian, kemuncaknya pada 1 Februari di mana kumpulan gajah ini yang terdiri lebih kurang antara 20 ke 23 ekor.
“Bagaimanapun, ketika kejadian, kumpulan gajah liar berkenaan berpecah dua, jadi ketika itu cuma ada sekitar tujuh ke lapan ekor yang merosakkan sebuah rumah penduduk di kampung Orang Asli Talang Pos Perwor.
“Susulan kejadian itu, kita telah menjalankan operasi dan berjaya menangkap gajah liar tersebut pada 5 Februari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai operasi memindahkan Yong Shida di Kampung Talang, Pos Perwor, dekat Kuala Mu, Kuala Siput, hari ini.
Dalam operasi tersebut, Perhilitan menggunakan dua ekor gajah denak betina, Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu serta dibantu oleh Perhilitan Johor.
Mengulas lanjut, Shariff berharap penduduk kampung bersabar kerana pihaknya akan berusaha untuk membantu menyelesaikan konflik mereka dengan baki kumpulan gajah yang ada.
“Operasi ini bermula jam 9 pagi tadi dan selesai kira-kira tiga jam kemudian. Gajah yang berada dalam keadaan sihat itu akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat di Taman Negeri Royal Belum, Gerik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Yusoff menasihatkan penduduk supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada Perhilitan sekiranya berlaku konflik dengan haiwan liar itu.
Pada 3 Februari lalu, media melaporkan bahawa Perhilitan mengesahkan menerima aduan berhubung serangan sekawan gajah liar yang memusnahkan rumah penduduk dan tanaman nanas di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini.
Aduan tersebut sekali gus menyangkal dakwaan berhubung Perhilitan tidak mengambil tindakan terhadap aduan berhubung kejadian tersebut seperti video yang tular di platform media sosial. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Gajah liar serang rumah, tanaman nanas di Pos Perwor