Perjuangan “senyap” lebih empat dekad, Jurubahasa Isyarat terima pengiktirafan

KUALA LUMPUR – Selepas lebih empat dekad mencurahkan bakti sebagai jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee, akhirnya mendapat pengiktirafan apabila tersenarai sebagai penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Sering menghiasi sudut kaca televisyen bagi program berita dengan mimik muka yang ekspresif, Tan, 64, menyifatkan pengurniaan itu sebagai satu pengiktirafan besar baginya dalam perjuangan “senyap” menyampaikan suara golongan yang “tidak bersuara”.

“Saya rasa gembira, terharu, ingin menangis juga … saya rasa amat bersyukur,” demikian luahan jujur jurubahasa isyarat veteran itu kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Walaupun anugerah itu diraikan dalam suasana penuh istiadat, bagi Tan, ia hadir bersama memori panjang dan liku-liku hidup dalam kerjaya yang kurang mendapat perhatian orang ramai.

“Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya seorang, tetapi juga simbolik penghormatan kepada setiap jurubahasa yang bekerja dalam senyap demi keterangkuman yang lebih adil di Malaysia,” katanya sebak.

Tan merupakan antara 16 individu menerima Bintang AMN pada istiadat itu yang antara lain turut menyaksikan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Perjalanan Tan sebagai jurubahasa isyarat bermula bukan kerana cita-cita, tetapi kerana kasih dan empati terhadap insan yang paling dekat di hati, iaitu adiknya yang mengalami masalah pendengaran.

“Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak …. Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak.

“Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia,” katanya yang juga jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia pada 1994.

Sumbangan anak jati Segamat, Johor itu dalam dunia penyiaran bermula lebih awal daripada jangkaan ramai, iaitu kira-kira 1985 apabila muncul di kaca televisyen menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Seterusnya, wajah dan aksi bahasa isyaratnya menjadi antara visual penting dalam siaran berita di RTM mahupun dalam video komunikasi rasmi, iklan dan pelbagai medium penyiaran yang berperanan penting untuk menyampikan maklumat kepada golongan istimewa.

Selain RTM, Tan juga mencurahkan khidmatnya kepada syarikat korporat yang mempunyai pekerja kurang upaya bagi tujuan penerangan, mesyuarat dan taklimat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri berkata anugerah itu ialah satu pengiktirafan besar buat dirinya selain satu penghormatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kurniaan ini, saya akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dengan penuh komitmen, demi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru semua penguat kuasa pelbagai peringkat untuk menghayati peringatan titah Sultan Ibrahim yang mahu semua penguat kuasa menjalankan tugas dengan amanah dan penuh intregriti.

Berangkat pada istiadat itu ialah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan jemaah menteri.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI