PARIT – Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu (PWBPMM) yang menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong di Bota Kiri, dekat sini, ‘lumpuh’ selepas terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.
Tinjauan MG Perak ke lokasi mendapati, keseluruhan kawasan yang terletak di pinggir Sungai Perak itu dinaiki air.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan di perkampungan tersebut antaranya sukan berkuda, memanah dan aktiviti kebudayaan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu susulan kejadian banjir ini.
Yang Dipertua Persatuan Budaya Dan Kesenian Alam Misa Melayu, Osman Abd Rahman berkata, banjir mula berlaku pada Selasa lalu dan paras air masih belum surut.
Bagaimanapun, kesemua 33 ahli persatuan yang menetap di perkampungan tersebut sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang.
Menurutnya, pada masa ini hanya sukarelawan sahaja berada di perkampungan tersebut bagi menjaga aset serta haiwan peliharaan yang ada.
“Alhamdulillah semua 33 ahli persatuan sudah dipindahkan ke PPS berhampiran dan kita masih bertahan sehingga air surut semula.
“Selepas 2014, tiga tahun perkampungan ini tidak banjir. Ini adalah kejadian banjir yang paling teruk antara yang lain. Sebab sebelum ini, kalau paras air naik pun hanya sehari sahaja dan hari kedua sudah surut semula,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Dalam perkembangan sama, Osman berkata, kejadian banjir besar 10 tahun lalu air naik lebih 3.5 meter (m) sehingga pintu gerbang hanya kelihatan separuh.
“Kalau sekarang, parasnya kurang sikit daripada 2014. Air hanya dekat pintu gerbang, paras tak dapat sukat dengan tepat,“ jelasnya.
Sementara itu, dia turut mengetahui mengenai air dari Empangan Chenderoh yang sentiasa dilepaskan dari semasa ke semasa.
“Bagi saya tidak ada masalah air (dari empangan) dilepaskan. Sekurang-kurangnya air tidak dilepaskan secara mendadak kerana lebih tinggi risikonya.
“Kita sentiasa bersiap sedia kerana duduk di pinggir Sungai Perak jadi paras kenaikan air kita sentiasa ambil maklum dan bersiap sedia.
“Keseluruhannya berjaya diselamatkan, cuma tunggu air surut. Kita punya alat muzik telah kita angkat sepenuhnya.
“Alhamdulillah dengan bantuan agensi kerajaan seperti bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), polis dan pejabat daerah banyak menghulurkan bantuan,“ ujarnya.
Ujarnya, sewaktu 2014, mereka mengambil masa tiga bulan untuk membersihkan keseluruhan kawasan perkampungan berkenaan yang meliputi balai rong, surau dan penempatan penduduk.
“Sekarang balai rong air dipenuhi air dan kalau keadaan seperti ini, kita perlu sebulan untuk cuci dan sehingga kini segala aktiviti akan diberhenti buat sementara waktu,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: