Perkasa lahir usahawan kalangan pelajar IPT, pacu ekonomi Perak

GRADUAN serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya pada masa kini cenderung menceburi bidang keusahawanan yang secara tidak langsung membantu dalam memacu transformasi ekonomi sesebuah negeri.

Mereka berada dalam posisi yang strategik untuk memanfaatkan pendidikan dan kemahiran yang diperoleh ketika dalam pengajian untuk diterjemahkan apabila menjejakkan kaki dalam bidang keusahawanan.

Justeru, mengambil kira potensi yang ada pada graduan serta pelajar IPT, kerajaan negeri Perak buat julung kali memperkenalkan Perak Entrepreneurship Scholars’ Advancement (Perkasa) pada tahun lalu.

Inisiatif di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, dan Pembangunan Usahawan Negeri itu, dilaksanakan bagi menyokong dan memperkasa usahawan muda, khususnya dalam kalangan pelajar atau graduan.

Program yang diselaraskan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) itu menyediakan pelbagai peluang dan sumber bagi memperkembangkan perniagaan mereka sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dengan sokongan daripada pihak kerajaan serta industri.

Pada November lalu, STeP dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Tapah termasuk mentor perniagaan serta beberapa agensi terlibat buat julung kali mengadakan Bengkel Pemantapan Perniagaan Perkasa di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM).

Perkasa bentuk pelajar IPT dalam keusahawanan, pacu transformasi ekonomi Perak
Miker Signature antara jenama terkenal di Perak hasil usahawan muda. Foto ABDULLAH YUSOF.

Walaupun program yang pertama kali diperkenalkan itu hanya berjaya menarik minat 79 peserta daripada 23 IPT awam dan swasta seluruh Perak namun jumlah tersebut dijangka bertambah memandangkan ia mendapat maklum balas yang positif daripada semua pihak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program yang terbuka kepada mahasiswa anak Perak berlangsung selama enam bulan.

Menurutnya, pendedahan awal bidang keusahawanan penting serta terdapat program yang dilaksanakan di peringkat sekolah, IPT dan dalam kalangan usahawan.

“Kerajaan negeri sememangnya fokus dalam perkara tersebut bagi memastikan usahawan PMKS (mikro, kecil dan sederhana) terutamanya dapat diutamakan di Perak.

“Untuk menjadi usahawan kita perlu ada ilmu keusahawanan, kalau tidak, kita akan ada jumlah usahawan yang ramai tetapi kita khuatiri produk dihasilkan tidak berkualiti, tidak kekal dan tidak dapat bersaing di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, program yang berteraskan bimbingan keusahawanan secara berterusan itu melibatkan tiga fasa iaitu Fasa Latihan, Fasa bersama Agensi, dan Fasa Penghasilan Produk.

“Dalam fasa pertama iaitu Fasa Latihan, peserta diberikan pendedahan terhadap pelbagai bentuk latihan keusahawanan.

Perkasa bentuk pelajar IPT dalam keusahawanan, pacu transformasi ekonomi Perak
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed berucap pada Bengkel Pemantapan Perniagaan Program Perak Entrepreneurship Scholar’s Advancement (PERKASA) di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Tronoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Perkongsian oleh agensi usahawan, usahawan-usahawan berjaya serta pakar dalam bidang akademik dan lain-lain bidang mengisi fasa pertama ini.

“Selain itu, taklimat pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut ditekankan dalam pembentukan usahawan berjaya,” katanya.

Seterusnya, Salbiah berkata, untuk fasa kedua iaitu bersama agensi, peserta akan melalui siri mentoring bersama agensi-agensi yang dipilih berdasarkan kecenderungan peserta terhadap jenis-jenis keusahawanan yang ingin mereka ceburi.

“Fasa tersebut memberi pendedahan yang lebih mendalam terhadap Kanvas Model Perniagaan (BMC) akan berlaku sepanjang menelusuri bidang keusahawanan.

“BMC ialah sebuah pelan bagi perjalanan operasi perniagaan, mengenal pasti sumber pendapatan, sasaran pelanggan, produk, dan kos.

“Sehubungan itu, untuk menjadi usahawan yang berjaya, BMC adalah perkara asas yang wajib diketahui bagi membantu usahawan memahami sifat perniagaan secara holistik, sistematik, mudah dan jelas,” ujarnya.

Perkasa bentuk pelajar IPT dalam keusahawanan, pacu transformasi ekonomi Perak
Sebahagian pelajar IPT yang menyertai Bengkel Pemantapan Perniagaan Program Perak Entrepreneurship Scholar’s Advancement (PERKASA) di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Tronoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Menyentuh mengenai fasa ketiga program Perkasa, beliau menjelaskan peserta dijangka telah pun mempunyai produk atau servis yang telah melalui proses penjenamaan semula.

Tambahnya, agensi-agensi terlibat akan bekerjasama memastikan peserta berada di landasan yang tepat dan fasa ini akan berlangsung sepanjang Disember 2024 hingga Januari 2025.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri program Perkasa mampu melahirkan usahawan muda yang berpengetahuan luas, berdaya saing, dan memiliki daya tahan yang tinggi untuk bertahan lama dalam perniagaan yang diceburi.

“Kita berharap semoga program ini dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk melahirkan idea-idea kreatif dan inovatif dalam membangunkan perniagaan masing-masing,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak berhasrat perbanyakan Bandar Pintar menjelang 2040

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI