Perkhidmatan bas Kampung Koh-Bidor tahun hadapan – Exco

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan peruntukan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera bagi laluan Kampung Poh ke Bidor akan dimasukan dalam Belanjawan Perak 2025.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, terdapat keperluan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut kepada penduduk dilaluan berkenaan.

Beliau berkata, antaranya bagi memudahkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani yang menetap di asrama memandangkan jaraknya ke Bidor sejauh 10 kilometer.

“Dari Kampung Poh ke Bidor jaraknya lebih kurang 10km dan haram ada kenderaan (awam). Hanya pelajar-pelajar dahulu dibenarkan naik kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Tetapi kini mereka sudah tiada kenderaan, bila tiada kenderaan ‘ingkerlah’ (seronok sangat) ‘deme’ (mereka) tidak pergi ke sekolah, lebih baik jaga durian.

“Untuk itu kita terpaksa menyediakan perkhidmatan bas dan saya telah dicadangkan pada tahun depan untuk kita pastikan bajet itu dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Tambah beliau, perkhidmatan bas berkenaan juga bakal memanfaatkan Orang Asli serta orang awam untuk membuat sebarang urusan di Bidor, Sungkai dan Tapah.

Sementara itu, menjawab soalan lisan Salina, Mohammad Nizar (PH-Sungai Rapat) berkata, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ketika ini disediakan di daerah Larut, Matang Dan Selama; Manjung serta Kuala Kangsar.

Ujar beliau, ketiga-tiga daerah ini mempunyai keperluan dan permintaan tinggi daripada golongan sasar terutamanya pelajar sekolah dan masyarakat orang asli di beberapa laluan sosial yang telah dikenal pasti.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera diperluaskan di daerah Batang Padang pada tahun 2024 dan sedang dalam tindakan pihak Majlis Daerah Tapah untuk proses perolehan.

“Berhubung cadangan daripada YB Behrang untuk meningkatkan akses perkhidmatan Perak Transit bagi DUN Behrang, cadangan ini akan dikaji dan sekiranya bersesuaian akan dipertimbangkan tertakluk kepada peruntukan kewangan pada tahun 2025,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak hasrat perkenal bas, teksi elekrtik di Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI