Perlu kaji tindakan sesuai pemimpin politik berucap dalam masjid

IPOH – Kajian harus dilakukan bagi tindakan perundangan sesuai terhadap mana-mana wakil rakyat atau pemimpin politik yang didapati melanggar larangan menyampaikan ceramah atau ucapan dalam masjid dan surau di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun penelitian lanjut terhadap pertimbangan itu perlu dibuat berhubung perkara itu memandangkan ketika ini kesalahan tersebut terletak di bawah tanggungjawab pengerusi dan jawatankuasa masjid.

“Yang itu kita kena kaji kerana kesalahan diletakkan kepada pihak pengerusi dan jawatankuasa masjid kerana membenarkan individu terbabit (ahli politik) berucap. Ini disebabkan ia di bawah tanggungjawab mereka.

“Jadi, jika difikirkan perlu untuk mengambil tindakan kepada individu terbabit, kita kena buat kajian tentang hal ini.

“Ia perlu ada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri, Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak 2026 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, pada Rabu.

Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pada laman Facebook berkenaan dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang berucap di sebuah masjid di Bota, Parit, baru-baru ini.

Hantaran itu mendakwa Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib telah menyampaikan ucapan dalam masjid selepas menunaikan solat sunat tarawih.

Mengulas lanjut, Saarani mengingatkan agar semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Penganjuran dan Syarahan Agama Islam Negeri Perak yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) susulan titaah Sultan Nazrin sebelum ini.

Beliau berkata, peringatan tentang larangan itu juga bukan perkara baharu, malah sudah beberapa kali ditegaskan termasuk semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru tegas beliau, mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar arahan dan titah Sultan Perak itu perlu bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan.

“Saya ini (sendiri) adalah (memegang portfolio) Exco Agama Islam Negeri tetapi saya mematuhi sepenuhnya titah Tuanku (Sultan Nazrin) itu. Tuanku bertitah bahawa orang politik tidak dibenarkan untuk berucap di dalam surau ataupun masjid.

“Jadi saya rasa saya sudah patuhi keseluruhannya dan saya tak pernah buat benda itu. Saya sudah ingatkan kepada semua wakil rakyat kerajaan ataupun pembangkang,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Insiden 1 Ramadan, tiga tabung masjid dipecah

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI