Perlu kajian menyeluruh cadangan tempoh jawatan PM 10 tahun – Saarani

TAPAH – Kajian menyeluruh perlu dilakukan berhubung cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana cadangan berkenaan mempunyai pro dan kontra atau kelebihan dan sebaliknya sekiranya perkara itu dilaksanakan kelak.

Katanya, ada pandangan yang di mana sekiranya tiada had tempoh jawatan Perdana Menteri, ia dikhuatiri membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Bagaimanapun Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak memberitahu, perkara itu bergantung kepada individu.

“Ada juga yang kata, jika seseorang itu memegang jawatan berkenaan dengan baik dan berfungsi dengan baik, barangkali dua penggal tidak cukup untuknya mentadbir.

“Mungkin di mana pada penggal pertama dia baru di peringkat merancang, dan berada pada peringkat pembangunan pada penggal kedua.

“Jadi, jika kita ‘kerat’ (hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu), penggantinya belum pasti akan dapat meneruskan apa yang dirancang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak Bersama Penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Serbaguna Air Kuning, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Pada program seramai 300 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan penerima bantuan kewangan JKM Daerah Batang Padang menerima sumbangan bakul makanan masing-masing.

Mengulas lanjut Saarani berkata, walaupun ada yang mengehadkan tempoh jawatan pemimpin tertinggi, namun ada antaranya berada dalam tempoh 10 tahun penggal penuh.

“Kalau seseorang itu adalah seorang pemimpin yang baik dan berkesan, lazimnya wawasan (yang dirancang) itu untuk jangka masa panjang.

“Jadi kalau kita matikan peluang dia untuk meneruskan wawasan itu, barangkali akan merugikan negara,” ujarnya lagi.

Pada Ahad media melaporkan DAP mencadangkan agar kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.

Sebagai respon, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses itu perlu dilaksana dengan rapi di samping memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Isu had tempoh jawatan PM perlu dihujah dengan adab, bukan konotasi negatif

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI