KUALA LUMPUR – Pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar diperluaskan bukan hanya pada makanan tetapi kepada aspek pentadbiran negara.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sekiranya Jakim mahu menjadi penjaga moral kepada negara, maka agensi itu juga perlu menyatakan bahawa rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tindakan `menyonglap’ berbilion ringgit wang rakyat adalah haram.
Tambahnya, halal dalam erti sebenar bukan hanya sekadar tentang makanan, tetapi ia melibatkan kesucian, keadilan, kejujuran dan keadilan sosial.
Malah katanya, al-Quran dan hadis juga jelas menyatakan rasuah, menipu orang miskin dan memperalat yang lemah adalah haram.
“Namun semua ini subur secara terbuka sementara kita bertelingkah tentang sijil halal di dapur.
“Kita teliti tentang rumah sembelihan tetapi menutup mata terhadap pasar politik di mana kekayaan dan kuasa diperdagangkan tanpa malu.
“Kita mengawal restoran untuk tanda pensijilan halal, tetapi mengabaikan kekotoran di bandar, kebocoran dalam belanjawan dan pengkhianatan amanah oleh pihak berkuasa.
“Inilah kontradiksi yang melemahkan kita sebagai satu bangsa.
“Kita diberitahu apa yang boleh atau tidak boleh dimakan, tetapi tiada siapa yang berani mengesahkan sama ada tadbir urus, kontrak dan institusi kita halal,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Zaid berkata, sebelum Jakim menjadikan pensijilan halal satu industri bernilai berbilion ringgit, umat Islam di negara ini sudah pun mengetahui mengenai perkara halal.
Menurutnya, sejak bergenerasi, beliau dan keluarganya juga membuat keputusan sendiri tentang apa yang boleh dimakan atas kepercayaan kepada ilmu, masyarakat dan hati nurani.
“Bagaimapaun, hari ini umat Islam diberitahu bahawa jika tiada sijil daripada badan kerajaan, makanan itu diragui.
“Halal kini kurang berkenaan iman, tetapi lebih kepada birokrasi,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan sekiranya Jakim menentukan apa yang halal untuk dimakan, adalah agensi itu juga boleh menentukan di mana yang halal untuk tidur.
“Adakah negara ini sendiri halal apabila persekitarannya kotor, apabila aktiviti haram berleluasa dan apabila penyalahgunaan kuasa serta rasuah menghakis setiap institusi?” katanya. – MalaysiaGazette