IPOH -Sebarang permohonan melibatkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti seperti permohonan melibatkan korekgali jalan perlu dibuat melalui agensi Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) bermula 1 Julai.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lagi menerima sebarang permohonan permit dan korekan bermula 18 Jun kerana semua permohonan harus melalui sistem atas talian yang dibangunkan oleh KUDR iaitu KUDRAT.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, ia merupakan arahan kerajaan negeri supaya kesemua PBT perlu campur tangan dalam membantu pelaksanaan penyelenggaraan.
“PBT akan tinggalkan kerja ini bermula 1 Julai, jadi kita bagi tempoh dipanggil tempoh bertenang.
“Tempoh dua minggu itu semua kerja diserahkkan segala-galanya kepada KUDR, jadi mana-mana kerja PBT yang dibuat hari itu dapat dilaksanakan oleh KUDR,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh dengan KUDR dalam pemasangan infrastruktur utiliti di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, di sini pada Khamis.
Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah melancarkan Penubuhan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) sebagai One Stop Agency (agensi sehenti) bagi pengurusan utiliti pada 2 Mei lalu.
Menurutnya, penubuhan KUDR akan memudahkan urusan syarikat penyedia utiliti bagi melancarkan proses penyediaan infrastruktur seperti elektrik, air, gas, telekomunikasi dan sistem pembentungan secara terancang di negeri ini. – MG Perak.