Permohonan maaf Papagomo kepada KPN seperti jenaka – Peguam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, video yang diterbitkan oleh penulis blog, Papagomo menggunakan muzik latar lagu `Maafkan Kami’ dari filem Pendekar Bujang Lapok, melanggar syarat permohonan maaf terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Peguam Raam Kumar berhujah, video tersebut yang diterbitkan dalam laman YouTube, TikTok, X dan Telegram pada 30 April lalu, bukan sahaja dilakukan tanpa niat yag baik, malah tidak langsung menunjukkan penyesalan.

“Penerbitan video itu tidak menunjukkan defendan ikhlas memohon maaf, sebaliknya ia seperti lawak jenaka.

“Ini merupakan perkara berkaitan mahkamah, namun pernyataan maaf itu berlatar belakang muzik dan tidak langsung menunjukkan penyesalan,” ujar beliau.

Video permohonan maaf dengan muzik latar nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diakses melalui laman sosial itu kemudian dipertontonkan di mahkamah.

Raam turut berhujah, Wan Muhammad Azri turut melanggar permohonan maaf tanpa syarat dengan menerbitkan penjelasan umum pada 1 Mei lalu.

“Permohonan maaf tanpa syarat bermaksud responden tidak boleh membuat apa-apa penjelasan atau komen dalam penerbitan tersebut.

“Namun Wan Muhammad Azri sebaliknya menyatakan, dia tidak pernah memohon maaf kepada KPN dan hanya memohon maaf kepada mahkamah.

“Responden selanjutnya menjelaskan dia memohon maaf kerana tidak mahu ke penjara, bukan sebab dia melakukan kesalahan. Ini tidak ikhlas,” ujar beliau.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo berhujah agar permohonan kebenaran itu ditolak kerana ia tidak berlandaskan kepada prima facie.

Mahkamah bersidang bagi mendengar permohonan kali kedua Razarudin untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Papagomo kerana melanggar syarat permohonan maaf berhubung perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong kemudian membenarkan permohonan Ketua Polis Negara memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap penulis blog itu dan menetapkan pendengaran pada 30 Jun ini.

Mahkamah turut menetapkan Papagomo selaku defendan memfailkan afidavit jawapan sebelum 23 Mei manakala afidavit balasan pada 6 Jun ini. Penghujahan bertulis pula difailkan pada atau sebelum 20 Jun.

Razarudin memfailkan permohonan kebenaran kali kedua pada 5 Mei lalu secara ex-parte (sebelah pihak) selepas Papagomo gagal mematuhi perintah menghendaki beliau menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat kepadanya dan mahkamah.

Penulis blog itu sepatutnya menyiarkannya di platform YouTube, Tiktok dan X sekurang-kurangnya selama tujuh hari serta memadamkan kenyataan pada 14 Januari lalu serta imejnya yang disunting pada 15 Januari lalu.

“Kenyataan defendan itu adalah bertentangan dengan permohonan maaf secara bertulis yang sudah dipersetujui dan dibaca di mahkamah seperti dalam perintah komital,” ujar Razarudin.

Kali pertama Razarudin memfailkan permohonan kebenaran bagi perintah komital terhadap Papagomo pada 24 Januari lalu dengan memohon supaya beliau dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Januari lalu dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram. – MalayasiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI