IPOH – Projek pembangunan Perpustakaan Digital Perak dijangka siap sepenuhnya Disember ini dan akan diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) pada tahun hadapan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan telah dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan Negeri.
Menurutnya, kos pelaksanaan projek tersebut dianggarkan sekitar RM3 juta, yang diperuntukkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui beberapa fasa pelaksanaan.
“Saya difahamkan mereka ini bekerja siang dan malam untuk memastikan persiapan dan juga kelengkapan perpustakaan digital ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“InshaAllah, pihak kontraktor telah pun berjanji untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf perpustakaan ini pada Disember 2025.
“Apabila siap, pihak yang berkaitan dengan teknikal termasuk JKR akan melakukan pemeriksaan dan akan menyerahkannya kepada PPANPk pada Februari 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis perasmian Bazar Buku Perak 2025 anjuran PPANPk yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di AEON BiG Falim, di sini pada Khamis.
Khairudin berkata, apabila projek tersebut diserahkan sepenuhnya kepada PPANPk, ia akan menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung melalui pelbagai pengisian baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), dekorasi bertema dan segmen interaktif.
“Dengan wujudnya perpustakaan digital yang baru dan mungkin antara yang tercanggih di negara ini, ia boleh menjadi satu tarikan khususnya kepada anak muda, pelancong dan masyarakat untuk mengunjunginya,” jelasnya.
“Kita juga dalam perancangan dan berkemungkinan Bazar Buku Perak 2026 akan dibuat di PPANPk bagi melihat keberkesanan perpustakaan digital tersebut,” ujarnya.
Katanya, projek ini dilihat sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan akses kepada maklumat dan teknologi digital dalam kalangan masyarakat Perak, khususnya golongan belia dan pelajar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak rancang bangunkan perpustakaan digital