IPOH – Persiapan awal serta perbelanjaan secara berhemah menjadi antara pendekatan yang diamalkan orang ramai di bandar raya ini bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
Mereka yang ditemui mendapati, meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, semangat menyambut Hari Lebaran tetap dirasai apabila mereka memilih untuk membuat persiapan secara sederhana namun meriah.

Kakitangan swasta, Mohamad Zulshafizal Haikal, 33, berkata, pengalaman berumah tangga selama tujuh tahun membantunya merancang persiapan lebih awal termasuk pembelian pakaian dan penyusunan perjalanan pulang ke kampung.
Menurutnya, ia juga turut mengajarnya untuk lebih bijak merancang, termasuk memanfaatkan platform dalam talian bagi urusan pembelian pakaian hari raya buat dia dan keluarga.
“Persiapan hari raya tahun ini lebih awal dibuat iaitu pada minggu pertama Ramadan. Baju raya semua sudah beli awal, rumah pun sudah siap kemas dan perancangan balik kampung juga telah dibuat.
“Akan tetapi persediaan itu masih dalam kawalan, tidaklah terlalu berlebihan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di sini, pada Jumaat.

Jelasnya lagi, keadaan ekonomi yang lebih stabil bagi keluarganya juga pada tahun ini turut membolehkan mereka berbelanja sedikit lebih berbanding tahun lalu untuk menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri.
“Bagi saya, ekonomi tahun ini terasa sedikit stabil buat kami sekeluarga. Jadi kami memilih untuk membeli kuih-muih lebih awal dalam kuantiti yang agak banyak demi merasai ‘vibe’ raya yang meriah,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Syamsul Anuar Zaini, 48, mengakui terdapat sedikit peningkatan dalam perbelanjaan tahun ini berikutan kenaikan harga barangan keperluan hari raya terutamanya melibatkan pakaian.

Jelas beliau, walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu, namun prinsip kesederhanaan tetap menjadi keutamaan agar tidak berlaku pembaziran yang tidak sepatutnya.
“Tahun ini ada penambahan bajet sedikit kerana harga pakaian seperti baju Melayu, baju kurung dan samping agak mahal berbanding tahun-tahun sebelum ini di pasaran.
“Namun, saya tetap mengamalkan konsep sederhana sahaja pada setiap tahun, dan tidak perlu berlebih-lebihan.
“Apa yang penting, segala keperluan asas seperti pakaian sudah selesai dan sekarang hanya tinggal untuk membeli juadah sampingan seperti lemang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penjawat awam, Mohamad Fidrus Ahmad Tarmidi, 38, memberitahu, pendekatan berjimat cermat menjadi keutamaan keluarganya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Katanya, bagi penyediaan juadah hari raya pula, dia dan keluarga lebih banyak membeli kuih raya daripada kenalan dan rakan sekerja kerana kekangan masa untuk menyediakan sendiri.
“Walaupun harga kuih raya sekarang agak tinggi, ia tetap perlu ada sebagai ‘trademark’ setiap kali pada hari raya, terutamanya untuk gembirakan anak-anak.
“Anggaran perbelanjaan untuk juadah hari raya sahaja boleh mencecah ratusan ringgit kerana kesan kenaikan harga barang yang amat dirasai sekarang,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Sabtu


