IPOH – Peniaga di Bazar Ramadan perkarangan Stadium Perak di sini, bertungkus lumus membuat persiapan akhir sebagai menyambut kedatangan pengunjung pada 1 Ramadan esok.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak Gazette di lokasi berkenaan mendapati, masih terdapat beberapa gerai kosong tanpa meja, kerusi atau kain rentang dipamerkan di tapak masing-masing, namun sebahagian besar peniaga sudah hampir siap membuat persediaan.
Pengusaha Boko Ubi Kayu Dekda, Norshahida Mohd Ishak, 39, berkata, gerainya sudah siap 95 peratus hanya tunggu masa untuk beroperasi pada Khamis ini.

Dia yang menjual boko ubi kayu serta barang makanan vendor seperti kuih-muih, kek tapak kuda, apam kartun dan pani puri memaklumkan ini adalah tahun kelima dia menyertai bazar Ramadan di lokasi tersebut
“Tahun sebelumnya, tapak saya di bahagian hadapan tetapi tahun ini tapak kami di belakang. InshaAllah setiap tahun pelanggan akan cari boko ubi kayu ini tidak kira (tapak) di belakang, depan, tengah, mereka (pelanggan) tetap akan cari kami,“ katanya.
Norshahida berkata, walaupun berlaku kenaikan harga barang dan tapak pada tahun ini, harga jualan makanan yang ditawarkan masih mampu milik bermula serendah RM4 sahaja.
“Harga kami memang mampu milik walaupun tapak sudah naik harga, harga barang naik, kami tetap kekalkan harga Rahmah,“ jelasnya.

Mengulas berhubung kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan khemah di tapak bazar tersebut runtuh, dia sudah bersedia dengan pelan alternatif bagi menghadapi situasi itu.
“Kalau terjadi ribut di kawasan ini, kami akan berniaga di tempat lain atau buka COD (cash on delivery) sementara pihak penganjur membaiki khemah yang rosak. Sebab kami berniaga sebulan, jadi mungkin (khemah) sempat untuk diperbaiki,“ ujarnya.
Pengusaha Ayam Joget Abang Rembo, Muhammad Faiz Fakhruddin Shamsul Ariffin, 34, pula berkata, persiapannya kini tertumpu kepada kerja-kerja pemasangan peralatan perniagaan.

Dia yang menjalankan perniagaan nasi kukus ayam goreng, ayam kicap dan pulut ayam ini sudah masuk kali kedua berniaga di tapak bazar Ramadan berkenaan.
“Alhamdulillah, tahun lalu sambutan memang agak melebihi jangkaan kerana kita harap biasa sahaja sebab saya pun orang yang meniaga secara kecil-kecilan.
“Untuk persiapan hari ini, kita fokus untuk menyiapkan gerai. Barangan seperti dapur dan perkakas lain yang dibawa kemudian dan kita akan cuba siapkan segera memandangkan sejak kebelakangan ini, waktu petang selalu hujan.

“Tahun ini saya tak berharap lebih daripada tahun lepas tapi kita akan buat yang terbaik dan capai target yang telah kita buat.
“Cumanya, tahun ini saya berniaga di sini dan tapak kami terletak di belakang kawasan berpokok. Jika berlaku ribut, ‘backup plan‘ kami adalah beralih kepada pesanan dalam talian.
“Oleh itu, kami akan membuka perkhidmatan penghantaran secara dalam talian. Bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkan pesanan melalui GrabFood, Shopee, dan FoodPanda. Harga jualan antara RM8.50 sehingga RM9.50,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengurus Niji Kuma, Nur Muliani Mohamad Mustafa, 34, yang sebelum ini berniaga di Concubine Lane juga dikenali sebagai Lorong Panglima, mengakui berasa gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai bazar Ramadan.
“Saya meniaga Niji Kuma iaitu makanan viral dekat Plan B. Kita jual roti rainbow cheese, Wagyu A5, Wagyu, lamb dan apa yang ada dekat sana kita bawa ke bazar ini.
“Saya sebenarnya tidak berharap apa-apa pun. Sebenarnya, saya dalam ketakutan kerana baru pertama kali hendak mencuba berniaga di bazar Ramadan. Kita takut ada benda yang orang boleh terima dan ada benda orang yang tak boleh terima apa yang kita jual.

”Alhamdulillah, meniaga di Concubine Lane wagyu dan roti rainbow cheese menjadi tarikan kepada pembeli,“ katanya.
Bazar Ramadan perkarangan Stadium Perak antara salah satu lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung pada setiap Ramadan menawarkan pelbagai jenis juadah menyelerakan dan pada tahun ini sebanyak 216 tapak disediakan di kawasan tersebut. – MG Perak


