IPOH – Bubur lambuk ibarat penyeri pada bulan Ramadan apabila ia menjadi antara juadah berbuka puasa yang sering dicari orang ramai, khususnya Masyarakat Islam.
Di Masjid India Muslim Ipoh, tradisi pengagihan makanan tradisi itu secara percuma yang menjangkau usia 80 tahun masih dikekalkan.
Sepanjang Ramadan, orang ramai akan mula beratur bagi mendapatkan juadah berkenaan seawal jam 4.30 petang di masjid yang terletak di Jalan Seenivasagam itu.
Seeni Abdul Saur Myidn, 69, merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menyediakan bubur lambuk di masjid yang berusia lebih 100 tahun itu, dengan dibantu Mohd Zainal Puteh, 55.
Seeni Abdul berkata, dia meneruskan usaha tersebut sebagai menggantikan tempat abang iparnya, Mustafha Kamal Varusai Mohamad, yang meninggal dunia pada Disember 2022.
“Saya belajar memasak bubur lambuk sejak daripada kecil, dan saya memang suka menyediakan juadah itu sehingga kini.
“Saya akan berasa puas setiap kali masakan saya itu dapat diberi kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui MG Perak di Masjid India Muslim Ipoh, baru-baru ini.
Menurut Seeni Abdul, masjid berkenaan menerima tajaan daripada tiga pihak yang tidak mahu dinamakan dalam penyediaan bubur lambuk itu.
Malah katanya, jumlah tajaan yang bernilai ribuan ringgit itu juga disalurkan kepada penyediaan juadah berbuka puasa dan bersahur secara percuma kepada jemaah sepanjang Ramadan ini.
Menceritakan tentang penyediaan bubur lambuk, Seeni Abdul memberitahu sebanyak 70 kilogram (kg) beras diperlukan bagi penyediaan juadah berkenaan pada setiap hari.
Jelasnya, sebanyak enam periuk diperlukan dalam penyediaanya di samping beberapa bahan masakan lain termasuk minyak sapi, santan, bawang, cili, halia dan sebagainya.
“Saya akan mula masak bubur lambuk ni sekitar jam 11 pagi yang mana kesemua bahan-bahan masakan akan ditumis terlebih dahulu sehingga naik minyak.
“Selepas bahan yang ditumis itu naik minyak, air dimasukkan sebelum disusuli dengan beras. Kemudian ia akan dikacau sehingga pecah beras. Kemudian, santan dan beberapa bahan perasa akan dimasukkan, sebelum dikacau semula,” katanya lagi.
Seeni Abdul berkata, kebiasaanya 600 orang akan hadir bagi memperoleh bubur lambuk yang dimasaknya itu setiap hari.
“Bubur lambuk ini adalah salah satu keunikan di Masjid India Muslim Ipoh yang mana sehingga kini ia cukup dikenali dalam kalangan masyarakat, tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bubur Lambuk di Masjid India Muslim Ipoh Diserbu
TONTON VIDEO:
MGPerak: Pertahan Tradisi 80 Tahun Edar Bubur Lambuk Percuma
MGPerak: Pertahan Tradisi 80 Tahun Edar Bubur Lambuk Percuma