Pertahankan perpaduan yang lama dianyam nenek moyang – Sultan Perak

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah rakyat Malaysia wajib mempertahankan perpaduan yang telah lama teranyam antara kaum yang menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Titah baginda, tikar merdeka yang dihamparkan kepada kita merupakan hasil tangan anyaman nenek moyang secara bersama.

Baginda bertitah lagi, secara bijak nenek moyang kita menganyam mengkuang pelbagai warna, disulam menjadi sebidang tikar untuk dijadikan tempat duduk mengalas kehidupan, membolehkan anak cucu melunjur sila di padang damai Malaysia.

“Perpaduan ialah asas penting untuk menjamin kelangsungan, kerukunan, kemakmuran dan kemerdekaan negara ini.

“Justeru itu, apa juga perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum wajib ditentang secara tegas,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 baginda di Istana Iskandariah di sini, pada Ahad

Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2025.

Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Sultan Nazrin bertitah, usaha menyatupadukan rakyat semestinya menghadapi halangan besar apabila ada kalangan rakyat yang memilih mahu mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.

“Ketika pada waktu yang kita sepatutnya lebih memberi fokus, mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis dan dibina oleh pemimpin terdahulu.

“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa.

“Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI