Perumahan: Perak sedia keperluan masa kini, hadapi masa depan

TEMPAT tinggal yang selesa menjadi keperluan asas utama manusia mengatasi keperluan lain yang digariskan dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow iaitu keselamatan, peningkatan diri dan sebagainya.

Kediaman bukan hanya sekadar sebagai tempat untuk berlindung, malah ia adalah ruang yang membina asas kehidupan, dari aspek keluarga, penjagaan kesihatan, sehingga kepada mencorak masa depan yang lebih baik.

Namun, dalam perkembangan masa kini dunia menyaksikan peningkatan kos hidup dan perubahan struktur penduduk yang akhirnya menjadi cabaran nyata bagi pihak autoriti dalam menyediakan rumah mampu milik serta berada dalam persekitaran sejahtera.

Rumah mampu milik Perak Rumah Perakku, dasar perumahan negeri Perak, Sistem Penarafan Mesra Warga Emas, negeri menua 2030, projek perumahan mesra usia, inisiatif rumah rakyat Perak, Pelan Perak Sejahtera 2030, Exco Perumahan Sandrea Ng, Datuk Seri Saarani Mohamad
Gambar hiasan. Pekan Ayer Kuning. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 APRIL 2025.

Kerajaan Negeri Perak kemudian menzahirkan keprihatinan melalui tekad dan perancangan jangka masa panjang untuk memastikan rakyat di negeri ini terus dapat berlindung di bawah bumbung yang selesa hingga pada masa hadapan.

Pemilikan rumah yang menjadi keperluan rakyat akhirnya dizahirkan melalui inisiatif yang digariskan Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Prinsip Pertama, Keseimbangan Pembangunan Fizikal dan Sosioekonomi.

Pelan cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu kemudian memberi fokus yang merangkumi akses perumahan mampu milik serta membina komuniti yang inklusif dan mesra warga emas menjelang status negeri menua pada tahun 2030.

Rumah mampu milik Perak Rumah Perakku, dasar perumahan negeri Perak, Sistem Penarafan Mesra Warga Emas, negeri menua 2030, projek perumahan mesra usia, inisiatif rumah rakyat Perak, Pelan Perak Sejahtera 2030, Exco Perumahan Sandrea Ng, Datuk Seri Saarani Mohamad
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika melawat Rumah Perakku @ Parit Buntar pada Majlis Pecah Tanah Rumah Perakku Taman Kerian Putra di Taman Kerian Putra. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 SEPTEMBER 2024.

Sebagaimana yang telah dilaporkan MalaysiaGazette (MG) Perak baru-baru ini, program di bawah Rumah Perakku menjadi antara nadi utama bagi dasar perumahan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketersediaan unit rumah mampu milik agar permintaan yang semakin meningkat saban tahun dapat dipenuhi sebaik mungkin.

Beliau memberitahu, melalui Dasar Perumahan Negeri, Perak menetapkan sekurang-kurangnya 40 peratus unit rumah mampu milik mesti disediakan dalam setiap pembangunan yang melebihi 20 ekar.

Rumah mampu milik Perak Rumah Perakku, dasar perumahan negeri Perak, Sistem Penarafan Mesra Warga Emas, negeri menua 2030, projek perumahan mesra usia, inisiatif rumah rakyat Perak, Pelan Perak Sejahtera 2030, Exco Perumahan Sandrea Ng, Datuk Seri Saarani Mohamad
Gambar hiasan. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Perasmian Pelancaran Jualan Projek Rumah Perakku Pangsapuri Raflesia di Bandar Seri Botani, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 FEBRUARI 2025.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa rumah ialah permulaan kepada kehidupan yang lebih stabil. Tanpa kediaman yang sesuai, sukar untuk rakyat membina keluarga, menjaga kesihatan, atau memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak.

“Justeru, agenda perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan berdiri sendiri, sebaliknya ia terikat rapat dengan kesejahteraan rakyat yang menjadi keutamaan dalam usaha menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya sebagaimana yang dilaporkan.

Ia dizahirkan apabila harga siling bagi unit Rumah Perakku I, II dan III masing-masing ditetapkan pada harga mampu milik iaitu RM90,000, RM160,000 dan RM250,000.

Gambar hiasan. Projek fasa 2 skim Perumahan Perakku Taman Tualang Sekah, Kampar. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 NOVEMBER 2023.

Saarani memberitahu, usaha memperbanyakkan rumah mampu milik tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar, sebaliknya kawasan di pinggiran juga turut diberi perhatian agar rakyat di seluruh negeri dapat menikmati hak perumahan yang saksama.

“Sektor pembinaan kini berdepan dengan cabaran peningkatan kos bahan mentah dan tenaga kerja. Namun begitu, kerajaan negeri tetap berusaha mengekalkan harga rumah dalam kategori mampu milik, tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kualiti binaan,” ujarnya lagi.

Rumah mesra usia: Cabaran hadapi negeri menua

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), Perak diunjur mencapai status negeri menua pada tahun 2030 apabila negeri ini merekodkan sekitar 14.6 peratus daripada penduduk negeri itu telah berusia 60 tahun pada 2023.

Juga berdasarkan unjuran itu, sekitar 18 peratus daripada populasi Perak terdiri daripada mereka berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh lima tahun lagi.

Gambar hiasan. Pasangan suami isteri, Chai Ko Chong, 85, dan Loi Mooi Ying, 82, antara pengundi warga emas yang selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok, Ayer Kuning, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 APRIL 2025.

Menyahut cabaran ini, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengetengahkan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada komuniti sektor perumahan yang mesra warga emas.

Antara isu yang dibincangkan ialah reka bentuk rumah yang lebih selamat dan mudah diakses, penyediaan laluan pejalan kaki yang rata, tanjakan dan lif untuk bangunan bertingkat, serta pencahayaan dan susun atur dalaman yang mesra pergerakan.

Gambar hiasan. Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berucap pada Majlis Perasmian Taman Permainan Awam di Kampung Baru Coldstream, Bidor, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 APRIL 2025.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pelaksanaan reka bentuk ini secara menyeluruh, kerajaan negeri membangunkan satu inisiatif penting iaitu Sistem Penarafan Mesra Warga Emas.

“Sistem ini bertujuan menjadi standard penilaian rasmi dan rujukan awam bagi menilai sejauh mana perumahan, bangunan dan kemudahan awam memenuhi keperluan warga emas berdasarkan ciri sejagat yang jelas,” katanya.

Sistem ini dijangka memberi impak besar dari segi meningkatkan kesedaran pasaran, mendorong pemaju ke arah pembangunan lebih inklusif di samping menyediakan panduan telus kepada pengguna.

Gambar hiasan. Warga emas di saluran 1 mula tiba di Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok, Ayer Kuning bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 APRIL 2025.

Pada masa sama, ia juga menjadi insentif moral dan kompetitif untuk para pemaju perumahan di Perak dalam mencapai tahap rumah yang terbaik dari segi mesra usia.

Menurut Sandrea, usaha ini juga melibatkan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal, organisasi bukan kerajaan dan pemain industri di bawah ‘Program Sejahtera Warga Emas – Komuniti Mesra Usia’.

Rumah untuk hari ini dan esok

Gabungan antara perluasan akses rumah mampu milik dan pembangunan persekitaran mesra usia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Perak bukan sahaja memberi tumpuan kepada keperluan masa kini, tetapi juga sedang membina asas untuk kesejahteraan jangka panjang rakyat.

Melalui pelaksanaan dasar yang jelas, pendekatan inklusif, kerjasama rentas sektor dan penyelesaian berpaksikan realiti semasa, Perak kini sedang membina landskap perumahan yang mampan dan adil untuk semua golongan usia. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

601 unit Rumah Perakku melalui Projek Taman Tasik Ardea

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI