IPOH – Seorang perunding minyak dan gas berputih mata apabila wang berjumlah lebih RM2.7 juta lesap selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi sebuah laman sesawang.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa berusia 37 tahun itu membuat laporan polis pada Ahad lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menyedari dirinya telah diperdaya.
Menurutnya, mangsa diperkenalkan kepada platform pelaburan tersebut menerusi seorang kenalan (suspek) yang ditemuinya di aplikasi WhatsApp pada April 2023.
“Akibat yakin dengan suspek, mangsa telah membuat bayaran deposit pertama berjumlah RM30,000 ke akaun yang diberi dan seterusnya diberikan ID dan kata laluan untuk melihat pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudiannya telah membuat sebanyak 136 transaksi pindahan wang ke tujuh akaun berlainan berjumlah RM2,701,687 bermula dari 5 Januari 2024 sehingga 20 Mei 2025.
“Wang yang dipindahkan itu adalah hasil simpanan mangsa serta wang dipinjam daripada ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa mula rasa ditipu setiap kali ingin mengeluarkan keuntungan tersebut kerana dia perlu membuat bayaran terlebih dahulu.
“Suspek sering memberi pelbagai alasan serta gagal dihubungi dan sehingga kini mangsa tidak boleh mengeluarkan wang keuntungan dari platform tersebut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menerusi laman sesawang tidak sah, tidak berdaftar dan tidak dikawal selia oleh pihak berkuasa.
“Pelaburan seperti ini sangat berisiko dan boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar.
“Justeru, semakan latar belakang syarikat pelaburan melalui pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti perlu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: