IPOH – Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Rabu atas kesalahan melakukan amang seksual dan merogol anak kandung sehingga hamil sejak tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas tiga kertas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 di sebuah rumah di kawasan perumahan di Batu Gajah, dalam Daerah Kampar sekitar jam 11.30 malam, pada pertengahan Disember 2024.
Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan amang seksual memegang payudara terhadap anak ketiga daripada enam beradik itu sekitar jam 2.30 petang di lokasi dan tarikh sama.
Lelaki itu juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan memegang kemaluan kanak-kanak terbabit sekitar jam 2.30 petang sehingga 8.30 malam di lokasi sama, sekitar Januari 2025
Bagi kesalahan rogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi dua pertuduhan amang seksual, bapa terbabit didakwa masing-masing di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama, dan dibaca bersama Seksyen 16(a) Akta sama.
Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.
Ketika prosiding, Qurratu’aini meminta mahkamah untuk mempertimbangkan wang jaminan RM30,000 kepada tertuduh di samping dikenakan syarat tambahan ketat.
Katanya, ia termasuk tidak menggangu mangsa dan saksi, serta perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Muhammad Farhan kemudian memohon agar mahkamah mengenakan wang jaminan minimum memandangkan anak guamnya itu perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan keenam-enam anak yang masih bersekolah hasil wang pencen RM1,800 sebulan.
Malah katanya, lelaki terbabit telah memberikan aku janji untuk tinggal berasingan daripada mangsa, supaya dia boleh terus menyara keluarga di samping akan mematuhi segala syarat tambahan yang dikenakan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM21,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan seperti tidak mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada awal bulan, sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan: