TAPAH – Pesawat ringan jenis ‘Microlight’ yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Tekah Taiping, pada Ahad, merupakan milik sebuah persatuan berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, jurulatih yang juga juruterbang pesawat berkenaan turut berdaftar di bawah MSAF.
“Persatuan ini berpangkalan di Tekah Taiping, dan kejadian malang itu juga berlaku di sekitar Lapangan Terbang Tekah.
“Pesawat ringan yang terhempas itu adalah di bawah satu persatuan yang berdaftar. Penerbangan itu juga (dikendalikan) seorang jurulatih bersama pelatihnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah, di sini, pada Selasa.
Ditanya mengenai siasatan insiden tersebut, Noor Hisam berkata, kejadian berkenaan sudah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan CAAM dan beliau meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.
“Kita masih menunggu perkembangan siasatan dari CAAM dan saya rasa biarlah CAAM tentukan siasatannya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua mangsa berusia 46 dan 40 tahun masih menerima rawatan di Hospital Taiping.
Semalam MG Perak melaporkan Dua lelaki cedera dalam insiden kemalangan pesawat ringan jenis ‘Microlight’ yang terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, dekat sini, pada Ahad.
Difahamkan mangsa merupakan seorang pemandu yang berusia 46 tahun dan pelatih berusia 40 tahun. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pesawat ‘Microlight’ terhempas di Taiping, dua lelaki cedera


