PARIT – Selepas tujuh tahun, acara aktiviti sukan dalam kawasan bendang kembali diadakan di Kampung Senin, Mukim Layang-Layang, dekat sini, pada Sabtu.
Karnival Sukan Bendang yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat itu disertai kira-kira 3,000 pengunjung sekitar Daerah Perak Tengah dan daerah berhampiran.
Bola sepak bendang antara enam acara dipertandingkan membabitkan 10 pasukan yang terdiri daripada penduduk setempat, agensi kerajaan, dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Salah seorang peserta yang juga pelajar antarabangsa dari Nigeria, Abubakar Aji, 35, menzahirkan rasa teruja apabila pertama kali berpeluang merasai sendiri acara kelaziman masyarakat tempatan selepas musim menuai itu.
Dia yang baru lima bulan menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata, dia menyertai acara itu bersama rakan-rakan penuntut yang berasal dari Pakistan dan Bangladesh.
“Apabila menyertai acara di sini, saya dapat rasakan perasaan yang mendebarkan tetapi seronok. Ini kerana seumur hidup memang saya tidak pernah melihat, apatah lagi merasai sendiri bermain bola sepak dalam bendang.
“Apa pun saya dan rakan-rakan seronok merasai pengalaman ini, malah penduduk tempatan juga ramah,” katanya ketika ditemui pada Karnival Sukan Bendang di Kampung Senin di sini, pada Sabtu.
Program turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Antara acara sukan lain yang dianjurkan adalah bola jaring bendang, sukaneka bendang, meniti basikal, pukul bantal, tarik tali, serta mengagau ikan dan itik.
Sementara itu, peserta warga tempatan, Ahmad Shamil Mohamed, memberitahu, acara sukan bola sepak bendang yang diadakan itu kembali menggamit memori waktu kecilnya.
Katanya, walaupun usianya mencecah 44 tahun, ia sedikit pun tidak melenturkan keterujaannya dalam menyertai acara berkenaan.
“Sebagai anak jati Kampung Senin saya rasa rugi sekiranya tidak menyertai Karnival Sukan Bendang yang dianjurkan.
“Di samping itu, apabila menyertai sukan bola sepak bendang ini, kenangan bermain lumpur dan mandi di tali air kembali datang di ingatan,” ujarnya.
Pada masa sama, penduduk warga emas setempat, Puteri Habsah Megat Zakaria 73, berkata, dia menyambut baik penganjuran karnival sukan itu yang mana ia disifatkan membantu memeriahkan kampungnya.
“Acara sukan di bendang yang diadakan tahun sebelum ini (2017) tidak semeriah ini. Penganjuran kali ini saya lihat ia sangat menarik kerana disertai hampir seluruh penduduk di Perak Tengah. Saya memang berharap ia dapat diadakan secara tahunan,” tambah nenek kepada 12 cucu itu.
Dalam pada itu, Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata, Karnival Sukan Bendang di Kampung Senin itu dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
Menurut beliau, ia juga disokong pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Perak.
Jelas beliau lagi, di samping memperkenalkan kembali tradisi dan budaya tempatan kepada golongan muda, penganjurannya juga menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2024.
“Pelbagai lapisan masyarakat hadir menyertai karnival sukan yang mana kita lihat, ada yang dalam umur lingkungan 50-an juga tidak melepaskan peluang berkubang di bendang,” katanya.
Difahamkan, kali terakhir acara sukan dalam bendang diadakan di kampung berkenaan adalah ketika program Pemukiman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Mac 2017.
Walau bagaimanapun, ia dianjurkan dalam skala kecil yang mana melibatkan penyertaan sekitar empat kampung setempat. – MG Perak