IPOH – Seorang ibu tunggal meminta siasatan telus pihak berwajib terhadap kematian anak lelakinya yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram, Johor, pada Julai lalu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa, anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang juga penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami.
Ibu itu mendakwa, dia dimaklumkan bahawa anaknya mengalami kekejangan atau sawan sebelum kematian, namun kecederaan seperti berdarah pada bahagian mata dan hidung selain lebam pada anggota badan menimbulkan tanda tanya buatnya.

“Pada jam 4.33 petang 28 Julai, saya menerima panggilan telefon daripada pegawai PALAPES UTM Skudai dan memaklumkan bahawa anak saya telah meninggal dunia.
“Saya dan keluarga kemudian bergegas ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk pengecaman, dan mendapati anak saya mengalami kecederaan, luka serta pendarahan yang teruk.
“Saya melihat darah mengalir tanpa henti pada hidung anak saya, dan juga ada kesan lebam serta darah kering pada bahagian anggota badan lain,” katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Ummu Haiman yang juga seorang guru berkata, dia kemudian meminta agar jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, bagi dijalankan proses bedah siasat.
Dia berkata, walaupun status kematian anaknya masih dalam siasatan namun dia berharap agar situasi sebenar tentang kejadian yang menimpa kepada anaknya dapat dimaklumkan.
Susulan itu dia yang menetap di Semenyih Selangor berkata, dia tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi tindakan lanjut.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa, cuma saya mengesyaki kemungkinan anak saya terbabit dalam pergaduhan dalam kalangan peserta latihan, sehingga dia dicederakan atau mungkin dibunuh,” dakwanya lagi.
Ummu Haiman memberitahu, Syamsul Haris merupakan pelajar jurusan keselamatan siber tahun pertama semester kedua yang baru sahaja memulakan pengajian pada September lalu.
Katanya, sehari sebelum kematian, anaknya itu ada menghubungi dengannya melalui pesanan pada aplikasi WhatsApp dan turut berkongsi gambar selepas menjalani latihan menembak.
“Sebelum telefon diserahkan kepada pegawai, dia dengan gembira beritahu kepada saya bahawa dia menjalani latihan menembak PALAPES dengan jayanya.
“Malah dia juga ada katakan kepada saya ‘Ma (emak) saya hendak masuk baris, kena serahkan ‘handphone’, ma jaga diri baik-baik,” ujarnya lagi.
Ummu Haiman berkata, kejadian berlaku pada hari ketiga latihan yang mana ia bermula pada 26 Julai dan dijadualkan tamat pada 3 Ogos.
Katanya lagi, jenazah Syamsul Haris telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih.
Sementara itu, peguam, Datuk Naran Singh berkata, pihaknya berharap siasatan telus terhadap kejadian yang menimpa mangsa itu dapat disiasat dengan rapi termasuk menemu bual para pelatih dan peserta latihan.
Malah beliau juga berharap laporan analisis terhadap darah mangsa dapat disegerakan bagi mengesahkan punca kematian.
“Memang amalan biasa apabila hasil laporan dapat diperoleh dalam tempoh tiga bulan. Tetapi, jika dapat diberi keutamaan dalam kes ini, saya yakin ia boleh disegerakan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota tentera perlu pegang prinsip Kepercayaan kepada Tuhan – Sultan Nazrin