IPOH – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Seorang petani warga emas dari Tringkap, di Cameron Highlands, Pahang berdepan dugaan hidup apabila perlu menjaga dua anak yang uzur.
Anak lelaki, Low Chee Ying 32, mengalami kecederaan pada otak dan leher selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2023, sementara anak perempuan, Low Chee Ying, 32, yang mengalami masalah perkembangan mental sejak lahir disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.
Menurut Steven Goh, 44, bapa saudaranya, Law Sang, 71, tetap masih berkebun menanam sayur-sayuran di kawasan seluas 0.8 hektar demi menyara hidup walaupun dia sendiri mengidap penyakit paru-paru, penyakit darah dan diabetes.
Steven berkata, Sang dan isteri, Lee Mooi Kwai, 61, merancang untuk melepaskan pekerjaan itu kepada anak-anak mereka, namun ujian hidup yang melanda dua anak warga emas itu membantutkan hasrat mereka.
“Bapa saudara saudara saya sudah 30 tahun bertani, namun kebelakangan ini dia ditimpa dugaan demi dugaan sehingga menyebabkan kehidupan mereka terjerumus kepada kesusahan, khususnya dari segi kos rawatan perubatan dan perbelanjaan harian.
“Mereka memerlukan kos perubatan yang agak tinggi untuk dua anak mereka iaitu antara RM8,000 sehingga RM10,000 bagi mendapatkan rawatan berkala di Ipoh.
“Malah, bapa dan ibu saudara saya ini perlu membelanjakan sehingga RM2,600 untuk perkhidmatan ambulans yang disewa dua bulan sekali untuk perjalanan ulang alik dari Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Tambah Steven, selain bergantung kepada pendapatan menjual sayur-sayuran, Sang dan Mooi Kwai turut mendapat perhatian daripada penduduk setempat yang menghulurkan bantuan termasuk daripada sudut kewangan untuk meringankan beban mereka.
Katanya, meskipun meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan, namun ia masih belum dapat menampung kos harian dan rawatan bagi penjagaan dua anak yang sakit.
“Cabaran terbesar keluarga ini ialah menampung kos perubatan yang tinggi serta perbelanjaan harian. Anak bongsu terlantar di katil, anak perempuan pula memerlukan kemoterapi jangka panjang.
“Ubat-ubatan, rawatan susulan dan barangan penjagaan kesihatan menelan perbelanjaan tambahan yang banyak,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, orang ramai diseru menghulurkan bantuan kepada Sang untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan ini.
“Mereka yang mahu menghulurkan bantuan atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi saya melalui WhatsApp di nombor telefon 019-5168338,” katanya lagi. -MG Perak