Petrol punca kebakaran di kediaman Koo Ham – Polis

IPOH – Laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang diserahkan kepada polis berhubung kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bagaimanapun surat laporan rasmi akan dihantar kepada pihak polis dalam masa terdekat.

“Sehingga hari ini, sebanyak 11 saksi telah dirakam keterangan dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlbat.

“Kes masih disiasat di bawah seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.

Beliau menyeru kepada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan.

Pada 15 Januari lalu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, laporan tersebut melibatkan keputusan analisis dua bahan bukti iaitu molotov cocktail yang ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan sudah dibuat secara menyeluruh dan dua bahan bukti itu sudah dibawa ke makmal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Selain itu, siling dan bumbung garaj kediaman Penasihat DAP Perak di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut rosak dalam kebakaran tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Laporan siasatan kebakaran kediaman Koo Ham diperoleh minggu ini

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI