TAIPING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Ulu Kinta berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan susu getah yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu di sebuah premis di sini menerusi Op Intra pada Jumaat.
Operasi itu turut melibatkan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi yang bermula jam 2.30 pagi hingga 6 petang itu telah menahan lima lelaki berusia 32 hingga 59 tahun, termasuk seorang warga Pakistan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan lori tangki membawa muatan susu getah dari Kedah ke sebuah premis di Taiping sebelum memindahkan bahan tersebut menggunakan hos paip ke dalam tangki simpanan pukal (IBC) berkapasiti satu tan.
“Pemandu lori dipercayai menjual 0.9 tan susu getah kepada pihak tertentu dan bagi mengaburi mata pelanggan, lelaki itu menggantikan berat yang hilang dengan besi pemberat yang diletakkan di badan lori tangki supaya bacaan timbang semula tidak berubah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya merampas 35.4 tan susu getah, sebuah lori tangki, pelbagai jentera dan peralatan memindahkan susu getah, serta dua telefon bimbit pelbagai jenama dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM789,132.04.
“Semakan mendapati seorang lelaki warga Pakistan terbabit melanggar syarat permit kerja mengikut Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping.
“Empat suspek warga tempatan serta barang rampasan diserahkan kepada LGM untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan LGM (Perlesenan dan Permit) 2014 dan LGM boleh mengenakan kompaun atau membatalkan lesen pihak terlibat jika terbukti berlaku pelanggaran syarat lesen. – MG Perak
Artikel Berkaitan: