KUALA KANGSAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya merampas produk kosmetik, suplemen tidak berdaftar termasuk dua buah lori bernilai RM1.42 juta menerusi satu operasi yang dijalankan di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak arah Selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini semalam.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat dan risikan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA, Ulu Kinta.
Menurutnya, hasil risikan mendapati sejumlah besar produk kosmetik dan suplemen tanpa pelekat hologram serta nombor pendaftaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dikesan dibawa menggunakan dua buah lori.
“Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai dikeluarkan dari sebuah kilang di Jitra, Kedah untuk diedarkan ke sebuah syarikat beroperasi di Selangor.
“Antara produk yang dirampas ialah 5,000 botol minuman suplemen pemutih kulit bernilai RM1.1 juta dan 1,008 botol chewable tablet vitamin C untuk kulit dianggarkan bernilai RM100,800.
“Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan dalam serbuan itu bersama dua buah lori bernilai RM220,000 yang membawa muatan produk terbabit,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – MG Perak
Artikel Berkaitan: