TAPAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui Cawangan Risik Batalion 3 Briged Utara menyerbu sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Dalam serbuan di Sungkai Rabu lalu, PGA merampas pelbagai mesin dengan nilai keseluruhan RM5.01 juta.
Komander Briged Utara PGA Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, Op Taring Alpha 5 dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Batang Padang serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dijalankan hasil maklumat risikan terhadap premis itu.
Menurutnya, operasi sekitar jam 10 pagi itu turut menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an dipercayai kerani dan 11 lelaki warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 55 tahun disyaki pekerja di premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut telah memasang dan mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa notifikasi dan kelulusan daripada pihak JAS.
“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar longgokan plastik yang belum dan telah diproses.
“Siasatan awal mendapati, suspek menjadikan premis ini sebagai lokasi pemprosesan material plastik tanpa kelulusan pihak JAS. Premis berkenaan telah beroperasi lebih dari enam tahun dan bekalan bahan sisa plastik diperolehi di sekitar Lembah Klang.
“Pelbagai fasiliti dan mesin yang digunakan untuk memproses plastik buangan serta 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas dalam serbuan tersebut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada JAS Negeri Perak dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi tangkapan 11 warga Bangladesh telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah untuk siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – MG Perak
Aktiviti Berkaitan:
Kilang perabot tanpa lesen tumpas, PGA rampas mesin hampir RM735,000


