IPOH – Pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II atau turut dikenali sebagai Masjid Negeri Perak di sini, menyambut baik penganjuran program pengagihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan oleh Hospital Pantai Ipoh (PHI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Imam Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh berkata, program seperti itu cukup baik diadakan pada bulan Ramadan dalam usaha mendapatkan keberkatan Allah SWT.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan dua kali seminggu melibatkan sama ada individu, syarikat atau pertubuhan di sekitar Perak.
“Hari ini program anjuran dua kali seminggu sepanjang Ramadan ditaja PHI dan TNB. Kita amat memerlukan tajaan daripada pihak perseorangan atau pertubuhan untuk bersama-sama menyertai program bubur lambuk di sini.
“Program ini bertujuan untuk memberi makanan kepada orang untuk berbuka puasa tidak kira orang susah dan senang. Mereka boleh datang ke sini, ambil bubur lambuk iaitu antara juadah popular dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette Perak (MG Perak) baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Business Support Office (BSO) TNB Perak, Munirah Mohamed Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Yow Huai Mim.
Beliau memaklumkan, sebanyak 22 kilogram beras digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk yang mampu diedarkan kepada 1,000 orang.
Dalam pada itu, Abdul Farid berkata, pihak masjid turut menggalakkan orang ramai untuk membawa bekas sendiri bagi mengambil bubur lambuk tersebut.
“Kita mula galakkan pengunjung untuk bawa bekas makanan sendiri kerana menyahut kempen tidak menggunakan beg plastik untuk membantu mengurangkan pencemaran seperti saranan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk),” jelasnya.
Tambahnya, mereka yang tidak membawa bekas makanan boleh membeli bekas yang disediakan dengan harga RM4 dan RM5 sahaja. – MG Perak
Artikel Berkaitan: