‘Phone scam’: Pesara kerajaan berputih mata, rugi RM1 juta

IPOH – Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM1 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis, bulan lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan selepas wanita berusia 67 tahun itu tampil membuat laporan polis di Taiping pada Selasa.

Penipuan panggilan telefon Pesara kerajaan kerugian RM1 juta polis azizi pegawai SKMM suspek mangsa polis
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika sidang media pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) Kontinjen Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 SEPTEMBER 2024.

Katanya, mangsa warga emas itu mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai daripada SKMM di kediamannya, pada 8 Ogos lalu.

Ujar beliau, suspek kemudian memberitahu bahawa kad bank milik mangsa terlibat dengan kegiatan penggubalan wang haram.

“Panggilan itu kononnya disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Tan Keng Seng’ kononnya mahu menyelesaikan kes tersebut yang berada dalam siasatan pihak polis.

“Rentetan itu, mangsa telah dihubungi oleh beberapa individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis (IPK) Terengganu.

“Manga kemudian diminta untuk meletakkan kad bank dalam sampul surat di atas rumput seperti alamat yang diarahkan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Perak Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Penipuan panggilan telefon Pesara kerajaan kerugian RM1 juta polis azizi pegawai SKMM suspek mangsa polis
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menyantuni penerima pingat Haris Nawawi 64, pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) Kontinjen Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 SEPTEMBER 2024.

Pada majlis, seramai 247 penerima terdiri daripada pesara polis, pegawai kanan dan pegawai rendah polis menerima pingat berkenaan.

Mengulas lanjut Azizi memberitahu, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun pihak ketiga kononnya untuk siasatan dan mengelakkan wang dalam akaun tersebut dibekukan.

Ujar beliau, oleh kerana percaya akan dorongan suspek, mangsa melakukan pemindahan wang dari akauan miliknya sebanyak 75 kali transaksi di dua akaun berbeza melibatkan jumlah RM476,550 antara 16 sehingga 23 Ogos.

Tambah Azizi, warga emas itu juga telah diminta untuk melakukan 24 transaksi memindahkan wang dari satu lagi akaun banknya kepada sembilan akaun yang berbeza, berjumlah RM590,000, mulai 24 Ogos hingga 3 September.

“Setelah membuat semakan melalui penyata dua bank, mangsa mendapati telah mengalami kerugian sebanyak RM1.07 juta dan mengesyaki dirinya telah ditipu.

“Mangsa telah membuat laporan dan polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada nombor telefon yang tidak dikenali,” katanya lagi. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI