IPOH – Perak FA berharap mampu mencipta kejutan dalam pertemuan dengan pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di Lumut, pada 18 Januari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pasukan Liga A1 itu kini berada dalam fasa persiapan yang lebih agresif sebagai persediaan bagi menghadapi daripada pasukan lawan yang pernah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021 itu.

“Kita sudah mula meningkatkan intensiti latihan dan saya telah meminta jurulatih untuk menilai semua pemain Liga A1, melihat kekuatan serta kelemahan pasukan.
“Ia supaya kita dapat melengkapkan sebarang posisi yang masih kurang, sama ada di bahagian tengah, serangan atau pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Liga Perak Sejahtera Inter Parlimen 2025/2026 Piala YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Mohd Azhar, beliau mengakui jurang pengalaman jelas memihak kepada KL City FC yang dibarisi pemain senior serta import berpengalaman berbanding Perak FA yang majoritinya pemain muda.
Bagaimanapun beliau berkata, melihat kepada kesepaduan pasukan, latihan yang sistematik serta semangat kebersamaan yang ditunjukkan pemain, ia diyakini menjadi faktor penting dalam daya saing pasukan.

Mengulas berkenaan jendela perpindahan kedua, Mohd Azhar berkata, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada pihak kejurulatihan untuk menentukan keperluan membawa masuk pemain baharu, sekiranya ia mampu memberikan impak besar kepada pasukan.
“Saya terbuka memberi ruang kepada ketua jurulatih dan pengurus. Jika ada keperluan dan ia boleh membawa perubahan besar serta melonjakkan prestasi, saya bersedia untuk bersetuju demi melonjakkan prestasi pasukan kita,” jelasnya lagi.
Sementara itu, menyentuh mengenai perubahan venue daripada Kompleks Bola Sepak Chepor ke Stadium MPM Manjung, beliau tidak menolak kemungkinan wujud sedikit cabaran buat pasukan Perak.
Walau bagaimanapun beliau yakin, ia pasukan kejurulatihan akan mengambil langkah perlu serta persediaan rapi bagi memastikan para pemain dapat menyesuaikan diri bagi mendapatkan rentak permainan yang terbaik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Liga A1 Semi-Pro: PAFA optimis Perak FA rekod kemenangan kedua


