Pilih pelanggan, premis jual minyak masak paket diserbu

LUMUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bertindak menyerbu sebuah premis yang memilih pelanggan dalam penjualan minyak masak peket 1 kilogram (kg) di Kampung Acheh di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, kejayaan operasi hasil maklumat dan aduan orang awam yang tidak berpuas hati kepada peniaga yang menjual minyak masak peket 1 kg bersubsidi kepada orang tertentu sahaja.

“Susulan maklumat yang diperoleh, satu tindakan uji beli (Ops Samar) telah dilaksanakan dan hasil mendapati pekerja kedai memaklumkan bahawa minyak masak peket telah habis dijual semalam dan masih menunggu penghantaran.

“Curiga dengan jawapan pekerja kedai tersebut, satu pasukan penguat kuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, pemeriksaan mendapati premis tersebut masih mempunyai Lesen CSA Runcit yang sah sehingga 12 Julai 2026.

Katanya, lesen tersebut adalah bagi barang kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum dengan had kuantiti simpanan sebanyak 500 kilogram bagi setiap jenis.

“Pemeriksaan lanjut juga telah menemui sejumlah minyak masak peket 1 kg yang diletakkan dalam satu bilik kecil disyaki dijadikan stor simpanan premis terbabit.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil kerana premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1)(a) AKB1961 iaitu mana-mana orang yang merupakan pemegang lesen CSA/GMT yang sah secara palsu menafikan bahawa dia mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg dalam miliknya.

“Sebanyak 78 paket minyak masak 1 kg telah disita dengan nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM195,” ujarnya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN sita lebih 23,000 kg minyak masak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI