IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menjalinkan kerjasama strategik dengan Advancement Berhad (KAB) bagi membangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Kerjasama dengan anak syarikat KAB, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) itu disasarkan untuk menjana lebih 1,800 megawatt (MW) menerusi 1,500 Megawatt peak (MWp) dijana dari tenaga solar darat, solar terapung di tasik (300 MWp) serta tenaga hidro (50MW).
PKNPk dalam satu kenyataan memaklumkan, KABEH akan menjalankan kajian daripada sudut kebolehlaksanaan teknikal, komersial dan undang-undang bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek.
“KABEH dan PKNPk mewujudkan kerjasama yang bertujuan untuk mencapai matlamat bersama dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Perak.
“Dengan memanfaatkan potensi besar tenaga hidro, solar terapung, dan solar daratan di lokasi-lokasi strategik serta sokongan PKNPk, kerjasama ini berada dalam kedudukan yang kukuh.
“Selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 Flagship Ke-12: Sumber Air dan Tenaga Boleh Baharu, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan ketahanan tenaga negeri tetapi juga menyumbang kepada matlamat negara dalam pembangunan tenaga boleh baharu yang mampan,” katanya.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak menerusi kenyataan sama berkata, Perak kaya dengan sumber semula jadi selain berpotensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu.
Kata beliau, pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu di Perak, tetapi ia juga mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu buat negeri.
“Perak sedang giat membangunkan tenaga hidro dan solar dalam usaha mencapai peralihan tenaga bersih serta memastikan tenaga yang lebih mampan untuk masa depan.
“Kerjasama ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur tenaga negeri,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, projek berkenaan sejajar dengan matlamat syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga mampan yang inovatif.
“Kami yakin bahawa pelaburan strategik ini dan usaha gigih kami akan mendorong perkembangan besar dalam keupayaan tenaga boleh baharu.
“Menerusi kerjasama dengan PKNPk, kami dapat mempercepatkan pembangunan infrastruktur tenaga mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam peralihan tenaga bersih dan boleh baharu di Malaysia,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: