KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke negeri Pahang yang dijadualkan hari ini.
Menurutnya, pembatalan pada saat-saat akhir itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan susulan keadaan kesihatan beliau.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau,” katanya.
Anwar dijadualkan menghadiri tiga program di Pahang hari ini bermula pukul 10 pagi tadi iaitu merasmikan majlis penutup Peniaga Kecil (HKKP) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh.
Beliau kemudiannya dijadualkan menghadiri Program Temu Anwar @ UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari itu dengan Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan.
Semalam, Anwar berlepas pulang dari Korea Selatan ke tanah air selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bermula Jumaat lalu. – MalaysiaGazette


