KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, petang ini.
Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Pembentangan Belanjawan 2024 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial pada 4 petang ini.
Menerusi catatan dalam Facebook, Anwar berkata: “Moga inti pati pembentangan ini dapat membimbing ekonomi kita ke tahap lebih baik dalam berdepan tantangan global masa kini selain menyokong agenda pembangunan dan kebajikan negara, insya-Allah”.
Pembentangan belanjawan dijangka menyaksikan kerajaan mengumumkan langkah-langkah pembaharuan fiskal, mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil di samping mengurangkan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan.
Selain itu, belanjawan yang mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan, sudah tentunya mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.
Belanjawan 2024 itu juga bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 yang dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin depan (16 Okt) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.
Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.
— BERNAMA