PM Anwar tinjau pembinaan LCS, kemajuan kerja setakat 25 Mei 72.43%

LUMUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat lawatan kerja di Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) Lumut, di sini bagi meninjau kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di situ.

Beliau diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Anwar turut mendengar taklimat berkenaan kemajuan semasa yang telah dicapai, melibatkan pembinaan lima kapal LCS milik TLDM itu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan kemajuan kerja keseluruhan pembinaan kapal itu telah mencapai tahap 72.43 peratus sehingga 25 Mei lepas.

Menurut kementerian itu pemantauan rapi bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara diteruskan bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh Lunas sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu.

Kementerian itu turut memaklumkan kapal tempur pesisir (LCS1) telah berjaya diluncurkan ke permukaan air (downslip) mengikut jadual kontrak pada 23 Mei lepas.

“Pada masa ini LCS1 telah pun memulakan fasa setting to work (STW) bermula pada Mei 2025 serta dirancang menjalani aktiviti first sea sailing pada Disember akan datang.

“Bagi LCS2, kapal ini juga telah diturunkan ke air pada 8 Mei dan sedang meneruskan kerja pembinaan dan dirancang memulakan aktiviti STW pada September ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian tersebut pembinaan LCS3 hingga LCS5 masih mengikut perancangan dengan LCS3 dijangka diserahkan kepada TLDM pada 2027, manakala penyerahan kapal seterusnya adalah selang lapan bulan, sehingga LCS5 siap sepenuhnya pada 2029.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI