KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia termasuk membabitkan tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, kata beliau, penentuan sempadan antara kedua-dua negara dibuat berdasarkan konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang telah ditetapkan sejak era penjajah.
“Penentuan sempadan ini tidak dibuat berdasarkan pampasan atau untung rugi sebaliknya berpandukan konvensyen dan perjanjian yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian hari ini ketika sesi penerangan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat bagi membetulkan kekeliruan masyarakat.
Anwar berkata, asas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Indonesia adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian utama iaitu Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda 1891 bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak.
“Bagi Sabah, ia berdasarkan Perjanjian Persempadanan antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda 1915 manakala bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak, ia membabitkan Konvensyen Persempadanan yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928,” jelas beliau.
Tambah beliau, dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan mengelirukan.
Katanya, penentuan jajaran sempadan di kawasan Outstanding Boundary Problem (OPB) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai adalah berdasarkan Konvensyen 1891 dan Perjanjian 1915.
“Prinsip utama ialah berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai pada garis latitud 4 darjah 20 minit utara.
“Hasil pengukuran bersama mendapati muara Sungai Sinapad berada di utara garis tersebut, menjadikan semua lembangan sungai yang bermuara di kawasan itu sebagai milik Malaysia,” ujarnya.
Jelas beliau, kawasan OPB sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana masih dalam proses rundingan dan penentuan sempadan sejak sekian lama.
Katanya, keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia–Indonesia dianggarkan sepanjang kira-kira 2,064 kilometer, melibatkan sektor Sabah–Kalimantan Utara dan Sarawak–Kalimantan Barat.
Bagi OPB Pulau Sebatik, kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula yang dijalankan pada 2019 mendapati Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 50 hektar.
Manakala bagi OPB Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, pengukuran bersama yang diselesaikan antara 2022 hingga 2023 mendapati kawasan seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia, manakala Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 780 hektar.
Menurut beliau, proses rundingan dan pengukuran kawasan berkenaan telah berjalan sejak 1977 dan hanya diselesaikan secara berperingkat selepas hampir lima dekad.
Anwar turut menegaskan, sebahagian daripada tiga kampung di kawasan Nunukan itu memang termasuk dalam kawasan Sabah berdasarkan perjanjian sedia ada.
“Tiada isu penyerahan wilayah secara tiba-tiba seperti yang didakwa,” tegasnya.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut menjelaskan, laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengulas isu sensitif berkaitan sempadan negara.
“Masih ada beberapa kawasan yang belum dimuktamadkan. Jangan jadikan isu ini bahan politik sempit atau melemparkan tuduhan tidak berasas,” ujarnya.
Beliau menegaskan, hubungan Malaysia dan Indonesia perlu terus dipelihara atas asas saling menghormati serta kerjasama erat antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette


