TANJUNG MALIM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan tadbir urus Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, proses kelulusan Kerajaan Negeri Perak yang pantas membolehkan pembangunan industri di negeri ini dibina lebih cepat sehingga mendapat pujian daripada pelabur.
“Seperti mana yang disebutkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar dukungan dan kerjasama mempercepatkan proses kelulusan merupakan contoh yang baik.
“Bukan sahaja di sini tapi pengalaman saya untuk KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian), itu satu proses kelulusan dan kecekapan Kerajaan Negeri yang membanggakan. Terima kasih,” ucapnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Peluncuran Kilang Kenderaan Elektrik Proton di Proton City, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Saarani; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Syed Faisal.
Anwar turut melahirkan penghargaan atas usaha dan kerjasama antara tiga kementerian yang diterajui Tengku Zafrul, Anthony Loke dan Lih Kang.
“Rakan-rakan menteri memperlihatkan dukungan kerajaan dan harapan supaya projek Proton keseluruhannya ini berjaya.
“Saudara lihat umpamanya kehadiran tiga-tiga menteri yang tentunya punyai peranan untuk mendukung dan memastikan kejayaan projek industri automotif di negara kita,” katanya.
Pada majlis sama Anwar turut mengatakan pembinaan kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) canggih Proton Holdings Bhd (Proton) di Tanjung Malim merupakan bukti kerjasama erat antara Malaysia dengan China dalam industri automotif negara.
Beliau berkata, ketersediaan China untuk memindahkan teknologi serta memberi ruang kepada anak-anak tempatan melonjak industri automotif negara. – MG Perak