KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang akan membebankan rakyat terbanyak.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebarang kenaikan tarif elektrik tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat dan peningkatan kos kepada mereka.
Tambah Perdana Menteri, beliau faham dan menyedari kos pengurusan elektrik meningkat namun sebarang kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan golongan maha kaya.
“Kita tidak membenarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan sebagaimana yang dahulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut sebagai maha kaya ataupun industri yang mencatatkan keuntungan.
“Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenikan tarif elekrik walaupun kita faham kos meningkat tapi walaupun kos meningkat dia tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat.
“Jadi ini dari segi dasar saya faham keperluan naik tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” kata Anwar kepada media di Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi, Kedah.
Anwar berkata, beliau telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengarahkan Tenaga Nasional Berhad membuat penjelasan secara terperinci.
“Tadi saya sudah hubungi Datuk Seri Fadhilah, menteri yang bertanggungjawab untuk minta Tenaga Nasional Berhad memberikan penjelasan. Secara terperincinya TNB dan Datuk Seri Fadhilah akan menjelaskan,” kata Anwar.
Media sebelum ini melaporkan, TNB mencadangkan jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai, 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada 26 Disember berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.
TNB berkata kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3 peratus seperti di bawah RP3 dan ini akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.-MalaysiaGazette