LUMUT – Dua individu Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan antara 183 pemohon yang berjaya memperoleh pekerjaan selepas melepasi sesi temu duga pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini.
Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Teluk Intan S. Mageswari berkata lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan merangkumi pelbagai bidang dan sektor ditawarkan pada program PRM kali ini, melibatkan 14 majikan.
“Sambutan diterima amat menggalakkan. Setakat Jumaat dan Sabtu, lebih 300 calon atau pencari kerja hadir untuk temu duga dengan 183 individu berjaya mendapat kerja, manakala 43 lagi menunggu untuk temu duga kedua di premis majikan berkenaan.
“Pada hari ketiga (hari ini), kita menawarkan pelbagai kategori pekerjaan termasuk sektor pengoperasian, industri perkilangan, profesional dan bidang perkhidmatan terutamanya penghantaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mageswari berkata antara majikan yang banyak mengambil pekerja ialah Malayan Flour Mills Sdn, Malakoff Corporation Bhd, YTY Industry Sdn Bhd, Lagenda Properties Bhd dan KPJ Sri Manjung Specialist Hospital.
Selain itu, Mageswari berkata kategori pemohon kerja juga terbuka kepada OKU dan mereka yang berusia 50 ke atas, selain kepada lepasan pelajar dan mereka yang ingin menukar kerjaya.
“Sebenarnya MYFutureJobs telah laksanakan di seluruh Malaysia. Memang ramai yang sertai dan banyak program sudah dilaksanakan termasuk di kawasan pedalaman. Kami mengajak orang ramai untuk hadir dan mengambil peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, lulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Muhammad Harun Hafiz Shaarani, 25, berkata penganjuran karnival kerjaya pada PMR itu sangat membantunya yang sedang mencari kerja.
Muhammad Harun Hafiz berkata beliau mengambil peluang untuk hadir pada hari terakhir penganjuran PMR bagi menyertai sesi temu duga oleh syarikat terlibat dalam karnival kerjaya itu.
Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju.
— BERNAMA