IPOH – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak merekodkan lebih 93,000 orang pengunjung pada hari kedua ia berlangsung.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program ini bukan sekadar sebuah acara, malah manifestasi tekad Kerajaan Madani untuk mendengar suara rakyat, memahami denyut nadi masyarakat dan menterjemahkan keperluan rakyat kepada tindakan yang nyata.
Menurutnya, sejak diperkenalkan pada tahun 2024 sebagai antara program flagship Kerajaan Madani, PMR membawa pendekatan baru iaitu mendekatkan lebih 280 jenis perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat; bukan lagi sekadar di pejabat atau atas kertas, tetapi turun ke lapangan, kampung dan ke setiap pelosok negeri.
“Jika berkesempatan, saya menggalakkan para hadirin untuk mengunjungi setiap gerai sempena program Madani Rakyat hari ini bagi mengetahui pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah disediakan oleh Kerajaan Madani bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sukacita dimaklumkan kepada semua di mana PMR menyasarkan 100,000 orang pengunjung dalam tempoh tiga hari. Namun, setakat tengah hari hari ini juga, walaupun baru masuk hari kedua, jumlah bilangan pengunjung telah melebihi 93,000 orang.
“Kita yakin bukan sahaja kita mampu mencapai sasaran, kita akan melepasi sasaran. Terima kasih kepada warga Perak khususnya warga Tambun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian PMR 2026 Perak yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Nga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku kementerian peneraju.
“Sokongan padu yang diterima daripada Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah, serta kerjasama erat daripada barisan kementerian dan agensi yang terlibat, kita semua berdiri teguh dalam satu saf yang sama bagi menganjur dan menjayakan PMR 2026 Perak.
“Sinergi yang terjalin ini mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kementerian, jabatan dan agensi dalam memastikan agenda pembangunan negara dapat disampaikan secara menyeluruh hingga ke akar umbi,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


