PMR Perak 2026 buka tirai

IPOH – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 secara rasminya membuka tirai hari ini dengan Perak menjadi lokasi penganjuran pertama bagi tahun ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April itu diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, disini.

Katanya, PMR 2026 turut menawarkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk mendekatkan perkhidmatan awam ke peringkat akar umbi.

“Bertemakan ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’, PMR Perak 2026 menekankan integrasi antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar yang mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembentukan komuniti yang harmoni sebagai tunjang kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata, KPKT sebagai kementerian peneraju amat berbangga menjadi tuan rumah penganjuran pertama PMR tahun ini bersama Kerajaan Negeri Perak.

“PMR bukan sekadar program biasa. Ia adalah platform bagi rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, sekali gus menjimatkan masa dan kos. Kami mengalu-alukan kedatangan semua lapisan masyarakat untuk memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Sepanjang program, orang ramai boleh menikmati pelbagai pengisian menarik antaranya perkhidmatan kerajaan pelbagai agensi; inisiatif kesejahteraan rakyat dan kesihatan; jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI; peluang pekerjaan dan aktiviti komuniti dan hiburan keluarga.

Menurut KPKT Program ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala pada Ahad sehingga jam 6 petang.

Foto, SUK.

Majlis perasmian PMR Perak 2026 dijadualkan pada 4 April 2026 dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganjuran PMR 2026 Perak merupakan manifestasi komitmen jitu Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai akses terus kepada perkhidmatan awam yang inklusif.

Melalui penyediaan pelbagai bentuk bantuan sara hidup, peluang kerjaya dan perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, inisiatif ini bukan sekadar platform bantuan, malah bertindak sebagai “talian hayat” yang kritikal untuk memperkukuh daya tahan komuniti di tengah-tengah kemelut ekonomi global yang mencabar.

Usaha ini sekali gus menterjemah aspirasi kemakmuran bersama demi membina masa depan negara yang lebih adil, saksama, dan mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI